Jambatan diharap tidak menjejaskan perniagaan

0

Oleh Rusnan Mustafa//

 

PERLU PROMOSI: Gerai makanan di Pangkalan Feri Muara Tuang.

KOTA SAMARAHAN: Peniaga di gerai yang terletak di Pangkalan Feri Muara Tuang di sini berharap pembinaan Jambatan Batang Samarahan tidak menjejaskan perniagaan mereka.

Menurut seorang peniaga di situ, Junaidi Kaderi, kemudahan pengangkutan air itu (feri) banyak membawa rezeki kepada semua peniaga di gerai tersebut.

“Kami sudah lama berniaga di sini dan kemudahan feri ini banyak memberi rezeki kepada penduduk kampung di sekitar sini.

“Kami berharap dengan siapnya jambatan Batang Samarahan nanti tidak akan menjejaskan sumber pendapatan kami di sini,” katanya ketika ditemui semalam.

Junaidi memberitahu, projek pembinaan Jambatan Batang Samarahan itu sememangnya amat dinanti-nantikan oleh penduduk di bahagian Samarahan termasuk dirinya sendiri.

“Namun, kami hanya melahirkan rasa kebimbangan sekiranya perkhidmatan feri ini dihentikan ia pasti akan menjejaskan sumber pendapatan peniaga di sini,” katanya.

Malah, beliau berkata selain peniaga, sumber pendapatan pengusaha perahu tambang juga akan terjejas.

“Kawasan ini dianggap lokasi strategik untuk peniaga kerana adanya kemudahan feri di mana kebanyakan penduduk dari Asajaya dan Sadong Jaya menggunakan laluan ini setiap hari.

“Dengan adanya Jambatan Batang Samarahan yang terletak di antara Kampung Baru dan Kampung Tambey, pastinya penduduk tidak akan melalui kawasan ini lagi kelak,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap agar satu langkah terbaik diambil untuk menggekalkan kawasan itu sebagai lokasi strategik kepada penduduk di situ khususnya peniaga.