Lebih banyak UTC dijangka dibina di Sarawak

0

UTC di Kuching.

KUCHING: Bandar-bandar lain di Sarawak juga dijangka menikmati kemudahan disediakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) apabila kerajaan mempunyai peruntukan mencukupi untuk membinanya seperti yang terdapat di bandar raya ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menerusi pusingan pertama pembinaan UTC di seluruh negara adalah untuk menubuhkan UTC di setiap ibu negeri.

“Selepas pusingan pertama selesai, kita boleh pertimbangkan untuk pusingan kedua. Kalau hasil kita bertambah Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk Sarawak,” katanya berucap merasmikan UTC Sarawak di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Menurut Najib, idea penubuhan UTC yang menyediakan kaunter perkhidmatan jabatan kerajaan muncul apabila kerajaan pimpinannya mendukung falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Sejak dibuka September 2014, UTC Sarawak yang menelan kos pembinaan RM48.5 juta menerima 260,000 orang pengunjung.

“Ia merupakan bukti jelas (pembukaan UTC) membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Katanya UTC turut melambangkan betapa komitednya kerajaan dalam mentransformasikan negara menerusi penyelesaian masalah rakyat secara kreatif.

Katanya tidak ada negara lain yang menyediakan UTC seperti yang disediakan oleh kerajaan di Malaysia.

“Semoga dengan pelaksanaannya (UTC) akan menambah keyakinan rakyat kepada kerajaan bahawa kita amat komited dan serius untuk melakukan transformasi negara kita sama ada di bandar mahupun di luar bandar,” katanya.

Terdahulu, Adenan dalam ucapannya memohon agar bandar seperti Sibu, Bintulu dan Miri turut dibina UTC agar rakyat di seluruh Sarawak dapat menikmati kemudahan di bawah satu bumbung ini.

Menurutnya, kemudahan disediakan UTC telah memudahkan rakyat dalam pelbagai urusan yang dahulunya memerlukan berkunjung ke pejabat-pejabat kerajaan berlainan.

“Boleh tahan Perdana Menteri kita. Beliau yang mengilhamkan semua ini (UTC). Kita senang kerana dapat menikmati pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung,” ujarnya.

UTC Sarawak terletak di tengah pusat bandar raya Kuching.

Kaunter yang terdapat di UTC Sarawak ialah Biro Pengaduan Awam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, polis, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, Suruhanjaya Pengangkutan Awam, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, PERKESO, Jabatan Pengangkutan Jalan,

Lebih banyak UTC dijangka di S’wakJabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Air Kuching, Sarawak Energy Bhd, Telekom, Pos Malaysia, MBKS, DBKU, Tabung Baitulmal, Jabatan Ketua Menteri, Majlis Perbandaran Padawan dan Pejabat Residen dan Daerah Kuching.

UTC dibuka mulai jam 8 pagi hingga 9 malam setiap hari. Ia mula dibuka pada pertengahan September 2014.