Ling Ee Ching tukang jahit Malaysia pertama menang MGEA

0

Oleh Borhaniza Ali Basah//

 

ANUGERAH: Ling menunjukkan sijil penghargaan dan trofi yang diterimanya daripada 2nd MGEA.

LING Ee Ching, 45, yang pernah memenangi pelbagai anugerah sebelum ini, membawa pulang satu lagi anugerah iaitu 2nd Malaysian Golden Enterprise Award (MGEA).

Beliau telah memenangi anugerah kategori tukang jahit dan menjadi tukang jahit yang pertama di Malaysia dan juga anak jati Sarawak yang pertama menerima anugerah seperti itu.

Tidak seperti anugerah-anugerah yang diterimanya sebelum ini, Ling mempamerkan kreativitinya dan anugerah ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kerja keras beliau sejak menceburi bidang jahitan.

Selain Ling, 19 orang dari bidang yang berbeza turut menerima anugerah pada 7 Februari lalu di Vivatel, Kuala Lumpur.

MGEA dianjurkan oleh The Federation of Malaysia Chinese Guilds Association dan China Press yang bertujuan untuk mengiktiraf usahawan terutamanya usahawan muda sebagai galakan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Ling memutuskan untuk mencalonkan dirinya dalam MGEA selepas menerima cadangan daripada seorang kawan, Neil Foo, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Bagi Kemajuan Usahawan Malaysia (SAMA).

Ling berkata, beliau berada di Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas untuk bertemu dengan pelanggan dan di situlah beliau bertemu Foo.

“Foo tahu tentang pencapaian saya, pertandingan yang saya masuk serta anugerah yang saya terima dan terus mengesyorkan saya untuk menyertai anugerah ini,” katanya.

Apabila dia kembali ke Sibu, Ling menyediakan semua dokumen sokongan yang perlu untuk dikemukakan kepada pihak penganjur dan pada bulan Januari, beliau menerima panggilan telefon bahawa dia telah memenangi anugerah tersebut.

Ling yang gembira mendapat khabar tersebut, terbang bersama keluarganya ke Kuala Lumpur pada bulan Februari untuk menerima anugerah itu dan membawa pulang sijil dan trofi.

“Ia sangat istimewa apabila memenangi sesuatu. Bagi saya, ia merupakan satu inspirasi untuk lebih maju dalam dunia jahitan ini dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan saya,” katanya.

Ling telah menyertai pelbagai pertandingan menjahit selama enam tahun berturut-turut dan telah memenangi lebih daripada 10 anugerah termasuk emas, perak dan gangsa di Malaysia dan di seluruh dunia juga.

Antara anugerah yang pernah dimenangi oleh Ling ialah trofi emas untuk 34th World Congress Of Masters Tailors di Rome (kategori kreatif) pada 2011, pada 2012 Ling memenangi gangsa untuk pertandingan memotong pada 24th Congress of Federation of Asian Masters Tailors di Singapore dan pada 2013 beliau telah menduduki tempat ketiga untuk Golden Needle and Golden Thread pada 35th World Federation of Master Tailors International di Korea.

Pada tahun 2013 juga, Ling telah menyertai 13th National Congress of the Federation of Tailors Guilds Malaysia di Negeri Sembilan di mana beliau mendapat hadiah pertama dalam pertandingan memotong, hadiah pertama dan kedua bagi kategori Kreatif dan tempat ketiga dalam kategori Pakaian Pejabat.

Pada Julai 2014, beliau memperolehi trofi gangsa dalam kategori Kreatif di 25th Congress of the Federation of Asian Master Tailor di Kobe, Jepun.

Walau bagaimanapun, bagi Ling, tidak ada istilah reka bentuk kegemaran kerana semua reka bentuk adalah inspirasi dan ia mempunyai keunikan tersendiri.

“Saya amat berpuas hati dengan kerja saya. Ia adalah inspirasi saya, idea saya,” katanya.

Bekerja di sebuah kedai yang sederhana di Jalan Bank, Ling sentiasa sibuk dengan kerjanya dan pelanggannya adalah dari Sibu, barat Malaysia dan luar negara.

Mereka terdiri daripada orang biasa, ahli perniagaan dan ahli politik termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong.

“Saya sentiasa menetapkan had berapa banyak pakaian yang akan saya jahit kerana saya mahu kualiti bukan kuantiti.

“Semua pakaian yang saya jahit adalah buatan tangan, ada juga terhad berapa banyak yang boleh saya jahit, saya tidak akan melampaui apa yang saya mampu lakukan,” katanya.

Ling kini tidak sabar untuk bersaing di World Federation of Master Tailors International di Finland Ogos ini.

Selepas itu, beliau berkata beliau sedang mempertimbangkan sama ada untuk terus mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan lagi.

“Saya benar-benar berharap kerajaan dapat memberikan penajaan kepada tukang jahit yang memasuki pertandingan itu untuk meringankan sedikit beban kami.

“Saya tidak mampu menampung perbelanjaan perjalanan saya sendiri, jadi saya perlu meminta beberapa penajaan serta perbelanjaan yang lain, saya juga terpaksa mengeluarkan simpanan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Ling sangat menyukai persaingan kerana ia membantu untuk memperbaiki dirinya selain membuka peluang untuk bertemu rakan-rakan di seluruh dunia dan belajar perkara baharu daripada mereka.