Maut rempuh pokok

1

Oleh Rosemaria Buma//

 

MAUT: Beberapa anggota bomba sedang mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Miri.

MIRI: Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Airport-Miri berhampiran Kem Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja di sini awal pagi semalam.

Mangsa, Kenny Khiew Shu Ling, 27, yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala rakannya, Kevin Lee Kwai, 20, berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan patah tangan kanan dan dikejarkan ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan segera.

Terdahulu menurut sumber, sebelum kejadian yang berlaku sekitar jam 2 pagi, mangsa dan rakan sedang dalam perjalanan dari Taman Delight menuju ke pusat bandar.

Setibanyadi tempat kejadian, kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Akibat perlanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduknya.

Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Miri dengan kekuatan lapan anggota bersama sebuah jentera Scania telah bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.21 pagi.

Anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa tersebut.

Sementara itu, sepasukan paramedik daripada Hospital Miri yang turut bergegas ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat.