APMM komited bantu banteras pembalakan haram

0

Oleh Henrietta Liza//

KUCHING:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak memberitahu bahawa pihaknya komited membantu kerajaan negeri membanteras aktiviti pembalakan haram di sini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata beberapa kapal milik APMM telah ditempatkan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tujuan pengawasan 24 jam.

“Ia tidak begitu serius kerana kami ada menempatkan kapal-kapal kami di kawasan yang panas terutama di kawasan beting-beting.

“Kapal kami ada di sana hampir setiap hari bersama kapal tentera laut yang telah distesenkan juga di sana.

“Kami membantu Jabatan Perhutanan Sarawak (JPS) sebenarnya dalam menguatkuasakan Ordinan Perhutanan Negeri dengan memeriksa balak-balak yang dibawa dari kawasan pembalakan ke kapal-kapal tongkang. Sekiranya menyalahi undang-undang kami akan serahkan kepada JPS .

“Jadi maknanya tidak ada pencerobohan. Kawasan panas kalau diikutkan bermula dari Tanjung Datu sehingga ke Kuala Baram,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Ulang Tahun Ke-10 APMM Peringkat Wilayah Sarawak di Muara Tebas semalam.

Bermula dari Tanjung Datu di Tanjung Sirik sehingga ke Bintulu di Beting Mukah, Beting Luconia, Beting Patinggi Ali, Raja Jarum, Beting Merpati dan di Miri, Kuala Baram, pelantar minyak juga diawasi sepenuhnya.

Beliau percaya APMM Sarawak berkemampuan mematahkan percubaan pihak yang tidak bertanggungjawab itu daripada membawa keluar aset bernilai negeri menggunakan kapal tongkang melalui pelabuhan-pelabuhan sedia ada.

Tahun lepas, APMM Sarawak telah mencatat 11 kes daripada 19 operasi yang telah dilaksanakan pihaknya.

“Tahun ini, kami akan adakan operasi secepat mungkin bersama JPS dan agensi-agensi lain sebagaimana yang dikehendaki oleh Ketua Menteri.

“Kami akan memfokuskan kawasan Bintulu dan Miri,” jelasnya.