APMM Sarawak kemuka cadangan pengambilan 200 anggota baharu

0

DIUSIR:Ismaili (dua kanan) didampingi pegawai kanan APMM Sarawak menunjukkan gambar kapal penceroboh China yang telah berjaya diusir ke persempadanan antarabangsa minggu lepas.

KUCHING:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pertambahan pengambilan 200 anggota baharu.

Kata Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit semalam, jumlah itu adalah bagi mengisi kekosongan keanggotaan anak kapal.

“Sejak 10 tahun penubuhannya, APMM Sarawak telah meningkatkan keanggotaan kepada 487 orang. Namun, masih ada 200 jawatan kekosongan lagi untuk diisi bagi Maritim di Sarawak.

“Pihak kami juga berhasrat membangunkan bangunan pangkalan hadapan APMM di tempat-tempat lain seperti di Mukah dan Lawas.

“Selain berusaha meningkatkan kemudahan-kemudahan yang kekal terutama untuk pejabat kami di Miri serta sebuah pejabat baharu di Bintulu,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Hari Ulang Tahun Ke-10 APMM Peringkat Wilayah Sarawak di Muara Tebas semalam.

Tambah beliau, sebanyak 3,500 pemeriksaan telah dijalankan pihaknya pada tahun lepas dan jumlah terbabit meningkat.

Bagaimanapun, indeks pematuhan itu juga meningkat kepada 98 peratus berbanding 65 peratus pada tahun sebelumnya disebabkan kesedaran di kalangan nelayan asing.

Sementara itu dalam perkembangan lain, APMM telah menjalankan Ops Usir terhadap 12 kapal nelayan asing dari China dari perairan Tanjung Manis, Bintulu minggu lepas.

“Dengan cara baik, kami telah mengusir kapal-kapal tersebut ke perairan antarabangsa.

“Kapal-kapal ini perlu apabila hendak mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia, kita harap syarikat-syarikat ini membuat permohonan masuk mengikut prosedur yang betul dengan Jabatan Perikanan.

“Dapatkan sijil laluan Ikhlas dan prosesnya yang telah disahkan baharulah mereka dapat memasuki negara ini secara sah,” katanya menjelaskan.

Sebelum ini, seramai enam nelayan asing telah ditahan pihaknya pada tahun lepas dengan sebilangan daripada mereka disabitkan dengan kesalahan dan ada yang tidak cukup dokumen dilepaskan.

Sehingga kini, nelayan dari negara Vitenam masih merupakan penceroboh asing nombor satu perairan negeri ini.

Semalam turut menjadi hari bersejarah apabila empat pegawai APMM Sarawak dipakaikan kenaikan pangkat oleh beliau sendiri.

Pihaknya turut meraikan ulang tahun itu untuk memperingati peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di Sarawak.

Menurut Ismaili, program-program sepanjang dua hari ini termasuk majlis penganugerahan, penyampaian sijil-sijil masyarakat maritim yang telah bekerjasama dengan pihaknya.

Hari ini, APMM Sarawak membuka Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin itu kepada orang awam.

Antaranya, terdapat pameran kerjaya, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, pertandingan memancing di jeti, sukaneka, konvoi pacuan 4×4, kelab bermotor berkuasa tinggi, aktiviti kanak-kanak dan perlawanan bola sepak antara lapan agensi untuk eratkan jalinan silaturahim antara agensi penguat kuasa.