Dua keluarga mangsa kebakaran terima sumbangan segera

0

BANTUAN SEGERA: Lee menyampai bantuan segera JKM kepada Chew sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Dua keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah berkembar dua tingkat terbakar pada malam Isnin lalu mendapat bantuan segera daripada kerajaan semalam.

Bantuan bernilai RM2,500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri telah disampaikan oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin kepada salah seorang wakil keluarga terbabit, Chew Chin Chin.

Hadir sama ialah Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii.

Lee menasihati kedua-dua keluarga itu membuat laporan polis bagi mendapatkan gantian dokumen penting seperti MyKad, sijil lahir dan pasport yang turut hangus.

Malah JKM turut membantu menghulur bantuan kepada jiran rumah yang terlibat dalam kebakaran terbabit.

Sementara itu, rumah terbabit terletak di Jalan Chin Sin Yu, Krokop 3 musnah 80 peratus menyebabkan 10 penghuni di dalamnya hilang tempat berteduh.

Kebakaran yang dikatakan bermula di bahagian dapur, turut merosak bumbung rumah jiran sebelah dan ketika kejadian hanya seorang penghuni berada di dalam rumah.

Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Miri bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 8.01 malam.