Indi-E-Zone UNIMAS dipelawa bekerjasama dengan WDU, TEGAS

0

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri mempelawa Pusat Khidmat Kerjaya Pembabitan Industri (Indi-E-Zone) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang baharu sahaja dilancarkan itu menjalin kerjasama dengan Unit Pembangunan Tenaga Kerja (WDU) Jabatan Ketua Menteri dan TEGAS.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, selain mempunyai matlamat yang sama iaitu meningkatkan kebolehpasaran graduan, WDU juga dimandatkan kerajaan negeri merancang permintaan dan bekalan dalam tenaga kerja mahir bagi pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“TEGAS pula sementara itu merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh kerajaan negeri bagi mempromosikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional di kalangan belia Bumiputera.

“Sementara Ind-E-Zone pula dedikasi dalam kampus universiti bagi menggalakkan hubungan langsung antara universiti dan pelajar bersama industri utama yang menyediakan kandungan relevan kepada pelajar untuk dunia pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ind-E-Zone UNIMAS yang dihadiri Timbalan Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad Johan Mahmood Merican di sini, semalam.

Menurut Len Talif, malahan Ind-E-Zone juga memberi input tentang peluang pekerjaan daripada industri selain latihan dan kesedaran mengenai industri utama di Malaysia.

Beliau menjelaskan, kejayaan Ind-E-Zone UNIMAS adalah sangat bergantung kepada pemilihan dalam penyertaan industri-industri sedia ada.

“Maka itu kita mahu melihat UNIMAS melalui Ind-E-Zone ini menjalin kerjasama dengan WDU dan TEGAS,” katanya sambil memberitahu ia bagi memenuhi peluang pekerjaan berkemahiran terutama di SCORE.

Sementara itu Wan Hashim dalam ucapannya berkata, Ind-E-Zone UNIMAS itu diwujudkan sebagai pusat sehenti untuk berkongsi maklumat penting berhubung matlamat dan permintaan industri bagi masa depan graduan UNIMAS.

“Ia juga boleh menjadi platform kepada industri untuk menawarkan peluang pekerjaan mereka dan latihan industri kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Ind-E-Zone merupakan sebahagian daripada program Kerjasama Industri Akademik yang diumumkan dalam Bajet 2015 dan di bawah kerjasama berkenaan, Talent Corp dan Kementerian Pendidikan akan bersama-sama melaksanakan insiatif selanjutnya dengan memberi tumpuan khusus untuk memastikan kurikulum berkaitan industri bagi graduan.

Pusat sehenti berkenaan akan menggabungkan pihak universiti dan majikan ternama, untuk meningkatkan khidmat kerjaya di universiti awam dengan memberi lebih kesedaran kepada pelajar tentang peluang kerjaya yang wujud daripada Program Transformasi Ekonomi dan pengharapan para majikan.

Setakat ini 11 lagi universiti awam telah dikenal pasti Talent Corp untuk menyediakan pusat Ind-E-Zone pada tahun ini.