Jamilah sentiasa kagumi Adenan, beri sokongan sewajarnya

0

BAHAGIA: Jamilah bersama Adenan kelihatan romantik dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.

ADA yang menyebut apabila Aquarius bertemu dengan Leo, keserasian yang jitu muncul berdasarkan kekaguman terhadap satu sama lain. Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu tidak percaya kepada horoskop, perhubungan mereka ternyata wajar diteladani ‘apabila Aquarius bertemu dengan Leo’.

Kasih sayang antara mereka memang ketara. Wajah Adenan berseri dan nampak lebih tenang setiap kali Jamilah muncul. Apabila kedua-dua mereka menghadiri majlis yang sama, mata Jamilah sentiasa tertumpu kepada ‘lelaki ini’ yang sudah mendirikan rumah tangga dengan beliau selama 35 tahun.

Pasangan tersebut kelihatan seperti memiliki temperamen atau pembawaan yang berbeza – Adenan lebih bersifat pendiam dan berorientasikan tugasan manakala Jamilah pula mudah bergaul, berterus-terang dan berorientasikan manusia. Perbezaan mereka melengkapi satu sama lain, yang membantu mereka menempuh waktu susah mahupun senang, hari-hari indah mahupun bergelora.

Selepas mendirikan rumah tangga dengan ‘lelaki yang tegas dan serius’ ini selama lebih tiga dekad, Jamilah tahu dari mula lagi bahawa untuk menyokong Adenan bukan bermakna beliau perlu berada di sisinya secara fizikal sepanjang masa.

Sebaliknya beliau tahu bila untuk memberikan ruang yang amat diperlukan oleh Adenan untuk berfikir dan menimbang isu-isu tetapi beliau memastikan beliau akan terus berjaga selama berhari-hari untuk menjaga Adenan jika Adenan tidak sihat.

Malah sekarang pun, sebagai isteri Ketua Menteri beliau masih memasak dan melayan Adenan di dapur. Maka itu ia tidak mengejutkan apabila Adenan lebih dari sekali secara terbuka menyuarakan kasih sayang beliau kepada Jamilah dan berkata Jamilah adalah “perkara terbaik yang pernah berlaku kepada saya”.

Sempena ulang tahun pertama Adenan selaku Ketua Menteri Sarawak, Jamilah dalam satu temu bual eksklusif bercakap kepada Lian Cheng daripada akhbar The Borneo Post tentang kehidupan mereka sebagai suami isteri, kasih sayang mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap satu sama lain dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin Bumi Kenyalang.

S: Boleh kami tahu bagaimana Puan Sri dan Ketua Menteri pertama kali berkenalan?

JA: Kami berkenalan di pejabat RELA di mana saya bertugas sebagai seorang setiausaha. Sebab itulah beliau sering menyebut bahawa beliau sangat berterima kasih kepada RELA kerana di situlah beliau menemui saya.

S: Boleh Puan Sri bercerita mengenai beliau?

JA: Di sebalik perwatakan beliau yang serius, Datuk Patinggi adalah seorang yang penyayang dan rendah diri. Sebagai seorang pemimpin, beliau seorang pendengar yang mengambil berat terhadap rakyatnya. Beliau menjalankan peranannya dengan serius kerana beliau memahami aspirasi rakyat dan cabaran yang ada di depan. Bagi pasukan politik dan pentadbirannya, beliau adalah seorang yang jujur dan adil. Beliau juga seorang yang dapat memikul banyak tanggungjawab namun yang pastinya saya mengenali beliau sebagai seorang manusia yang rajin dan berpegang kepada kata-katanya. Ketika menjalankan tugas, beliau mendapat inspirasi daripada kesusasteraan dan menunjukkan penghargaan yang tinggi terhadap etika kerja yang kuat. Ini adalah sebabnya kenapa beliau percaya kepada “apa sahaja yang kamu lakukan, lakukan ia dengan baik”.

Beliau mungkin kelihatan tegas namun beliau bukannya seorang yang berdendam. Beliau tidak memiliki kejahatan sebegitu di dalam dirinya. Beliau percaya manusia boleh berubah dan menjadi lebih baik. Kerana kualiti sebegini, saya sangat menghormati dan mengagumi beliau.

Beliau adalah seorang lelaki yang mempunyai kualiti kepimpinan yang amat tinggi namun apabila beliau di rumah, keperluannya adalah ringkas. Di hatinya, beliau adalah seorang budak kampung biasa dan tidak pernah melupakan asal usulnya. Saya fikir beliau rasa lebih gembira ketika beliau berinteraksi dengan penduduk kampung dan ketua masyarakat.

S: Bagaimana pula pendapat anda mengenai beliau sebagai seorang suami dan seorang ayah?

JA: Di rumah, beliau seorang yang ringkas dengan keperluannya juga ringkas. Beliau menyukai masakan di rumah, hidangan tradisi Melayu yang biasa.

Beliau seorang lelaki yang tidak banyak kerenah dan tegas namun beliau sering berlembut hati dengan anak-anak dan cucu-cucunya. Beliau akan memastikan ada masa untuk mereka. Beliau menyukai alam semula jadi dan akan membawa mereka bersamanya menaiki bot dan pergi memancing. Terdapat tujuh buah pulau di Sarawak dan pulau-pulau ini ‘bukannya sesuatu yang asing’ untuk anak-anak dan cucu-cucu kami kerana beliau telah membawa kami beberapa kali ke sana.

Kadangkala, beliau juga ada perubahan angin dan menyisihkan diri. Beliau bersikap serius terutama ketika mengemukakan kertas kerja dalam seminar atau ceramah. Namun beliau juga boleh menjadi seorang yang menarik dan lucu dalam ucapannya.

Selain itu beliau kuat berfikir. Malah ketika beliau berada di rumah, beliau tidak pernah berhenti bekerja dan berfikir. Bagi membolehkan beliau berhenti seketika memikirkan tentang kerja, saya akan memberikan beliau satu alat pintar untuk memainkan permainan kegemaran beliau ‘Word Wrap’ yang beliau sukai sambil beliau menyanyikan lagu-lagu kegemaran beliau seperti ‘I can’t help falling in love with you’, ‘Mona Lisa’ dan ‘Blueberry Hill’.

Dengan cara beliau tersendiri, beliau adalah seorang lelaki yang penyayang serta romantik, amanah, bertimbang rasa, baik hati, prihatin dan boleh diharapkan. Di sebalik wajah serius, beliau adalah seorang yang lembut hati dan penyayang. Beliau juga seorang pendengar yang baik dan sering membuat saya ketawa. Beliau jarang senyum dan apabila beliau senyum, saya akan memberitahunya bahawa beliau kelihatan sangat tampan. Dan beliau menyukainya. Beliau menyukai muzik dan pernah menyanyi untuk menyatakan perasaan cinta beliau terhadap saya. Bagaimana boleh saya tidak tertarik dengan seorang lelaki yang menyanyi untuk saya? Saya berasa sangat selamat apabila saya bersama dengan beliau. Mendirikan rumah tangga dengan beliau merupakan keputusan terbaik yang pernah saya buat. Beliau adalah pasangan hidup saya dan juga sahabat baik saya.

Sebagai isterinya, saya memastikan saya tahu apa yang beliau perlukan dan beliau sukai. Demi beliau, saya sanggup menjalankan kerja dengan teliti untuk menjaga beliau kerana saya memberitahu diri saya sendiri, “Anda harus bersyukur kerana mempunyai lelaki sebegitu sebagai suami anda, apa lagi yang anda inginkan?” Maka ketika beliau jatuh sakit, saya tidak dapat tidur kerana ingin memastikan beliau tidak apa-apa.

Selain menjadi pasangan hidup saya, beliau juga menjadi guru kehidupan saya. Saya banyak belajar daripada beliau ketika hidup bersamanya sebagai seorang isteri. Kami memahami satu sama lain dan kami juga berkomunikasi dengan baik. Yang paling penting, kami mempercayai satu sama lain. Beliau mempercayai saya sepenuhnya dan disebabkan itu, saya amat berhati-hati dalam semua perkara yang saya buat bagi memastikan saya tidak menyalahgunakan kepercayaannya. Sudah semestinya, kami ada melakukan kesilapan dan kami juga bergaduh. Namun itu selalunya tidak akan berpanjangan. Saya selalunya akan mengalah dan kami berbaik semula selepas setengah jam. Beliau telah berdepan dengan banyak perkara, saya tidak mahu lagi menambahkan beban beliau.

S: Puan Sri membayangkan beliau sebagai seorang Ketua Menteri yang bagaimana?

JA: Saya berharap beliau akan berkhidmat untuk rakyat dengan baik. Mereka telah memilih beliau dan saya mahu beliau menjadi seorang Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak, untuk membangunkan negeri dari segi ekonomi dan menjadi sebuah negeri yang maju. Rakyat mempunyai banyak aspirasi dan saya berharap beliau boleh memenuhi sebahagian daripadanya, jika tidak semuanya.

Sebagai seorang pengundi di kawasannya, saya berkongsi visinya bahawa beliau harus menjadi ‘Ketua Menteri untuk semua’ – untuk semua kaum termasuk bagi pihak pembangkang kerana mereka juga rakyat Sarawak.

Saya anak seorang anggota polis berbangsa Melanau dan seorang gadis dari Bau. Saya membesar di Bau di mana kami tidak membezakan antara kaum-kaum tetapi melihat semua orang sebagai individu dan membina perhubungan atau persahabatan berdasarkan hakikat ini. Itulah sebabnya kenapa saya dapat bertutur dalam bahasa Hakka dan bahasa Bidayuh. Generasi ibu bapa saya adalah seperti itu dan generasi saya juga seperti itu. Saya percaya ibu bapa di Sarawak turut mengalami keadaan ini dan mereka juga menjalani pengalaman mereka di mana anak-anak mereka belajar daripada mereka. Inilah kita – rakyat Sarawak tidak membezakan antara kaum-kaum tetapi melihat semua orang sebagai individu. Jadi saya bersetuju dengan dasarnya yang melarang pelampau.

Saya juga memuji beliau kerana dasar beliau berhubung pemuliharaan alam sekitar. Sebenarnya, beliau juga mengambil berat tentang alam sekitar. Dalam ucapan pertama beliau pada 1979, beliau sudah pun bercakap mengenai memulihara hutan, melindungi sungai dan menjaga flora dan fauna.

S: Di sebalik setiap lelaki yang sangat berjaya adalah seorang wanita. Bagaimanakah anda mengurus masa anda sebagai isteri ketua eksekutif negeri ini?

JA: Sebagai isteri beliau, saya memahami tekanan kerja, tanggungjawab dan komitmen yang beliau pikul dalam memberi khidmat kepada rakyat. Saya memberi ruang yang beliau perlukan dan menghormati keperluan beliau untuk bersendirian. Saya menjaga urusan di rumah untuk membolehkan beliau memberi tumpuan kepada hal ehwal kerajaan. Saya cuba sedaya upaya untuk menjaga keperluan peribadi beliau seperti memastikan beliau berehat dan makan dengan baik. Saya dapat mengendalikan hal ehwal keluarga atau perkara remeh-temeh lain, saya tidak mahu mengganggu beliau kerana beliau sudah pun menangani banyak sangat perkara.

Sebagai isteri Ketua Menteri, saya menyokong dan bekerja di sisi beliau dalam karier politik beliau. Saya selama ini bekerja dengan rakyat di kawasan suami saya, melawat kaum wanita dan mengatur banyak aktiviti seperti pertandingan memasak, ceramah agama dan program kesedaran pendidikan. Menerusi acara-acara ini, saya bergaul dan menjalin perhubungan dengan peringkat akar umbi di mana saya mendengar tentang keperluan dan masalah mereka.

Selain itu saya terlibat secara aktif dalam kerja-kerja sosial, kebajikan dan komuniti daripada pendidikan kepada aktiviti keagamaan. Hati beliau sangat tertumpu kepada pembangunan belia dan membantu golongan yang kurang bernasib baik. Memandangkan saya juga amat mengambil berat tentang perkara tersebut, saya membantu dengan apa jua cara yang termampu bagi golongan ini.

Saya akan melakukan segalanya untuk beliau. Bagaimanapun satu perkara yang saya tidak akan lakukan ialah tidak melampaui batas saya. Saya tidak akan campur tangan dalam keputusan yang beliau buat.

Memandangkan beliau adalah Ketua Menteri, tanggungjawab saya sudah tentulah semakin mencabar. Bagaimanapun mengurus masa adalah satu kemahiran yang saya telah perolehi sejak sekian lama walaupun sebelum beliau menjadi Ketua Menteri. Saya banyak terlibat dengan banyak organisasi lama sebelum saya menjadi isteri Ketua Menteri. Jadi apa sahaja yang saya buat sekarang hanyalah lanjutan kepada apa yang saya sudah buat selama ini. Ia bukan perkara baharu. Malah sekarang, walaupun jadual ketat, saya masih memasak makanan kegemaran suami saya – asam pedas ikan dan meluangkan masa untuk keluarga dan rakan-rakan saya.

 

 

 

 

 

 

 

JA: Saya paling mengambil berat tentang golongan yang memerlukan bantuan dan kurang bernasib baik selain kesejahteraan wanita terutama mereka di kawasan luar bandar. Saya datang daripada sebuah keluarga miskin dari kawasan luar bandar dan saya tahu bagaimana keadaannya untuk hidup dalam serba kekurangan. Sekarang jika saya dapat membuat sesuatu untuk membawa perbezaan, saya akan buat.

Dengan kedudukan saya sekarang, saya rasa diri begitu dirahmati dan membuat kerja sukarela adalah cara saya untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Maha Besar. Itulah sebabnya kenapa saya selalu terlibat dalam kerja sukarela bagi golongan kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan, walaupun sebelum suami saya menjadi Ketua Menteri. Ia juga harapan saya agar pembabitan saya dalam organisasi sukarela dan pertubuahn bukan kerajaan (NGO) dapat mendorong dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghidupkan semangat kesukarelaan. Saya percaya apabila saya membuat kerja sukarela, saya melabur dalam kehidupan rakyat dan dalam cara yang kecil, saya menyumbang ke arah pembinaan bangsa.

Sebagai presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), saya dapat melakukan lebih banyak dalam usaha melaksanakan program dan inisiatifnya termasuk mengumpul dana untuk membeli peralatan hospital.

Satu lagi komitmen NGO saya bagi jangka panjang adalah dengan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak yang merupakan gagasan SABATI. Saya juga terlibat dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan saya sekarang menerajui cawangan Samarahan.

Selain memberi bantuan segera dan cepat kepada golongan yang memerlukan bantuan dan kurang bernasib baik serta mewujudkan kesedaran tentang kesihatan jantung, saya juga terlibat dalam usaha memperkasakan kaum wanita terutama mereka di kawasan luar bandar untuk melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Namun, selepas bertahun-tahun menjalankan kerja sukarela, saya menyedari satu kebenaran – dia yang memberi adalah dia yang dirahmati. Ia begitu memuaskan hati – untuk melihat senyuman seorang kanak-kanak atau air mata yang mengalir pada wajah seorang wanita tua yang berkedut dimamah masa.

S: Dapatkah anda berkongsi rahsia bagi rumah tangga yang bahagia?

JA: Saya menganggap rumah tangga sebagai sebuah kebun yang perlu diurus dan dijaga. Daripada perspektif seorang isteri, saya rasa rahsia bagi rumah tangga yang bahagia menuntut pertama sekali, dedikasi kepada suami dan keluarganya. Ia melibatkan toleransi, kesabaran dan luahan cinta yang konsisten dengan mempamerkan keprihatinan dan kasih sayang. Selain itu, sikap saling percaya mempercayai mesti ada antara suami isteri. Saya rasa inilah apa yang kami miliki untuk menjayakan rumah tangga kami dan kami memastikan kami menurunkannya kepada anak-anak dan cucu-cucu kami.

Sudah tentulah, jika saya perlu menambah satu lagi ramuan tambahan bagi rumah tangga yang bahagia, ia adalah berkongsi hobi dan minat yang sama. Kedua-dua kami menyukai lagu-lagu malar segar dari zaman 1960-an.

Terakhir sekali tetapi sudah tentu bukan perkara yang paling kecil, seseorang suami itu mesti menghargai isterinya dan sebaliknya. Datuk Patinggi, sebagai seorang lelaki budiman, sentiasa berterima kasih kepada saya atas apa yang saya buat untuk beliau dan keluarga kami, baik kecil mahupun besar. Bagi saya, penghargaan beliau yang ikhlas terhadap saya adalah jauh lebih bernilai berbanding mana-mana anugerah kebesaran Datuk atau mana-mana anugerah kebesaran negeri lain. Saya percaya, jauh di dalam hati beliau, bahawa begitulah beliau menilai saya.