Lelaki disyaki terlibat dadah diberkas

0

MIRI: Seorang lelaki disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah diberkas polis dalam serbuan di hadapan sebuah bilik tidak bernombor di Pujut Padang Kerbau di sini petang kelmarin.

Susulan tangkapan itu, suspek telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk disoal siasat lanjut.

Menurut sumber, atas maklumat diterima, sepasukan polis BSJND Miri diketuai Inspektor Shahibbul Najib Kamaruddin melakukan serbuan ke sebuah kawasan di Pujut Padang Kerbau di sini.

Dalam serbuan dilakukan sekitar jam 3 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki di hadapan sebuah bilik tidak bernombor di Pujut Padang Kerbau untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai empat peket plastik kecil mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 2.15 gram.

Barang disyaki dadah itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Hasil ujian ke atas sampel air kencingnya menunjukkan kesan positif dadah jenis Amphetamine.

Sehubungan itu, suspek telah ditahan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memiliki dan menggunakan dadah.