Lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dadah

0

KUCHING: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah selepas polis menemui dadah jenis syabu seberat sekitar 7.8 gram dari bilik tidurnya kelmarin.

Suspek berusia 26 tahun dan berasal dari Kampung Serasot itu ditahan dalam satu serbuan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kuching ke atas kediamannya di Jalan Green di sini, petang Khamis lepas.

Difahamkan, semasa serbuan dilakukan, polis menjumpai dua beg plastik yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu masing-masing seberat 6.9 gram dan 0.9 gram.

“Pemeriksaan ke atas bilik tidur suspek telah menemui satu beg plastik yang disembunyikan di atas almari dan didapati mengandungi ketulan kristal disyaki syabu.

“Selanjutnya, polis turut menemui satu lagi beg plastik dari atas meja bilik berkenaan yang turut mengandungi ketulan kristal juga disyaki syabu,” kata sumber.

Ekoran itu, suspek telah ditahan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.