Mayat wanita OKU jatuh sungai ditemui

0

DITEMUI: Keluarga mangsa melihat mayat mangsa selepas berjaya ditemui malam kelmarin.

SIMUNJAN: Mayat seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas di Batang Sadong, di sini berjaya ditemui malam kelmarin.

Mangsa iaitu Emi Noofiza Mohd Saplee, 33, dikatakan terjatuh ke dalam sungai yang terletak kira-kira 10 meter dari rumahnya ketika sedang memancing ikan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan memberitahu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna iaitu kira-kira 20 meter dari tempat dia terjatuh.

“Mangsa ditemui oleh penduduk kampung sekitar jam 8.25 malam.

“Mayat mangsa dalam keadaan sempurna serta tiada kesan gigitan binatang dan dijumpai kira-kira 20 meter dari tempat kejadian,” katanya yang mengulas mengenai insiden tersebut semalam.

Difahamkan, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum dituntut oleh keluarga mangsa untuk upacara pengebumian.

Mangsa yang berasal dari Kampung Lalang, Gedong itu sebelum ini pernah menuntut di sebuah maktab perguruan namun berhenti disebabkan masalah kesihatan.

Mangsa menurut rakan-rakan yang pernah mengenalinya merupakan seorang yang berperwatakan ceria dan disenangi.