Premis perjudian atas talian diserbu

0

KUCHING: Sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian diserbu dengan 25 komputer dirampas dan seorang lelaki warga asing ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut sumber, serbuan oleh cawangan Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu dilakukan ke atas sebuah rumah kedai di Demak Laut sekitar jam 11 malam kelmarin.

Difahamkan, semasa serbuan dilakukan, sebanyak 25 unit komputer sedang berfungsi dan memaparkan animasi berkaitan aktiviti perjudian atas talian.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati penjaga premis berkenaan gagal menunjukkan dokumen perniagaan yang sah menyebabkan pihak polis terpaksa merampas kesemua komputer tersebut.

“Penjaga premis tersebut iaitu seorang lelaki warga Indonesia berusia 40-an turut ditahan untuk membantu siasatan,” kata sumber.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Operasi sempena Ops Cantas Khas Tahun Baharu Cina itu merupakan antara usaha polis memerangi aktiviti perjudian atas talian di negeri ini.