Rekod cemerlang Sarawak dileburkan oleh Kelantan di gelanggang sendiri

0

GEMPUR: Barisan penyerang Sarawak diterajui Ryan Griffiths melakukan asakan bertali arus ke kubu Kelantan pada aksi Piala FA 2015 di Stadium Negeri Kuching, malam tadi. — Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Rekod cemerlang Sarawak setakat ini lebur apabila tewas tipis (1-2) di pangkuan Kelantan pada aksi pusingan pertama Piala FA 2015 di Stadium Negeri, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah, Sarawak dikejutkan dengan jaringan awal Kelantan ketika perlawanan baharu berusia seminit menerusi ledakan penyerang importnya, Erwin Albeiro dari jarak jauh.

Sarawak sepatutnya memperolehi sepakan penalti pada minit ke-10 setelah penyerang import, Ryan Griffiths dijatuhkan oleh pertahanan Kelantan. Namun, pengadil meneruskan perlawanan.

Dalam tempoh 20 minit perlawanan, Sarawak banyak mengasak kubu Kelantan menerusi beberapa percubaan oleh Ryan (minit ke-13) dan Ivan Fatic (minit ke-16) untuk memburu gol penyamaan.

Begitupun, hasil usaha gigih rangkaian penggempur Sarawak menemui sentuhan pada minit ke-29 apabila Ryan melakukan rembatan kencang melepasi benteng pertahanan pasukan pelawat terus menerjah jaring.

Tamat separuh masa pertama kedua-dua pasukan masih terikat dengan kedudukan 1-1.

Babak kedua, perlawanan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu jaringan.

Namun, Kelantan ternyata bernasib baik apabila mendahului Sarawak kembali dengan jaringan kedua menerusi sentuhan pemain importnya, Emmanuel Kenmoge pada minit ke-64.

Ketinggalan 1-2, Ngap Sayot tidak mudah menyerah malah terus melakukan serangan kilat dan memperolehi sepakan penalti pada minit ke-76 setelah bola terkena tangan pertahanan Kelantan, Jonathan David.

Bagaimanapun, sepakan penalti dilakukan oleh Ryan gagal menemui sasaran setelah bola berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek).

Mini t -mini t t e r akhi r Sarawak tampak ‘berkampung’ di kubu Kelantan untuk memburu jaringan penyamaan namun ‘Apek’ bertindak cemerlang menyelamatkan gawang pasukan ‘Cik Siti Wan Kembang’.

Sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan Sarawak nampaknya ‘berputih mata’ apabila kecundang di kandang sendiri.