Rokok seludup hanya dijual di bawah meja

0

TAKTIK: Pemilik kedai runcit menjual rokok seludup dengan menyembunyikannya di bawah meja.

MUKAH: Peruncit yang tidak bertanggungjawab dan masih berdegil menjual rokok seludup menggunakan taktik tersendiri untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Tinjauan di sebuah kedai runcit menjual rokok (seludup) yang berharga jauh lebih murah daripada rokok berjenama mendapati banyak kedai menjual rokok dan minuman seludup.

Pemilik sebuah kedai di sini menggunakan taktik menjual rokok seludup melalui bawah meja dan hanya menjual kepada mereka yang dikenali dan biasa dilihat sahaja.

Peruncit memiliki taktik dianggap paling selamat supaya tidak ditemui pihak berkuasa dengan menyembunyikan pelbagai jenis rokok seludup atau rokok haram di bawah meja dengan ditutupi barang lain seperti kertas dan sabun.

Seorang pembeli dikenali Lee berkata, dia lebih suka membeli rokok berharga jauh lebih murah berbanding rokok berjenama dengan harga sehingga RM13.50 sebungkus.

“Harga sebungkus rokok keretek dan rokok lain dijual dengan harga serendah RM2.50 hingga RM3.50 sebungkus berbanding rokok sesudah cukai kerajaan dengan harga lebih mahal.

“Bagi saya, ia berbeza hanya melalui harga dan mengapa harus membeli rokok mahal harganya sedangkan ada rokok dijual murah,” katanya.

Sehubungan itu, pihak berkuasa disaran menjalankan pemantauan dan pemeriksaan menggunakan taktik tersendiri juga, baharulah kegiatan jualan rokok dan minuman keras seludup dapat dibanteras.