Usahawan Bumiputera diberi peluang bangun, urus aset MARA

0

KUCHING: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mahu lebih ramai pengusaha perniagaan di kalangan Bumiputera di negeri ini yang berkemampuan tampil menyertai Program Master Tenant Bazar MARA.

Perkara itu diutarakan Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa selain berkata, dengan keupayaan yang dimiliki ia mampu membantu meningkatkan aset MARA sedia ada seperti premis dan bangunan.

Jelasnya, menerusi program itu juga, usahawan yang layak melibatkan diri akan diberi peluang untuk membangun serta menguruskan aset MARA mengikut kreativiti dan kredibiliti sendiri.

Ia berikutan MARA mempunyai kira-kira lima hingga enam ribu premis di seluruh negara, namun kelihatan ‘tidak bermaya’, ketinggalan dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ujarnya.

“Setelah premis dan ruang niaga itu kelak diserahkan kepada pengusaha perniagaan persendirian, ia terpulang kepada mereka untuk meningkatkan keadaan bangunan atau premis agar kelihatan cantik dan kreatif.

“Pada masa sama, ia juga akan dapat mengurangkan kerenah birokrasi,” katanya ketika berucap merasmikan Master Tenant Bazar MARA Satok di Restoran Kopi O Korner di Bangunan MARA di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah MARA Negeri Megat Zakaria Megat Ahmad berkata, dengan adanya program Master Tenant Bazar MARA, ia dapat membantu dalam meningkatkan sistem tadbir urus yang lebih teratur dan baik bagi pengurusan premis perniagaan.

Malah katanya, program itu juga berupaya menggalakkan lebih ramai usahawan di negeri ini khususnya tampil mengurus serta mentadbir ruang niaga merangkumi aspek menyeluruh meliputi kerja pembaikan dan penaikan imej premis.

“Sejajar dengan usaha penambahbaikan bangunan MARA dan meningkatkan mutu ruang niaga, ia juga sekali gus bagi mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan daya saing golongan sasar dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburi.

“Di Sarawak sahaja setakat ini, MARA Negeri mempunyai 28 projek di mana terdapat 351 premis (ruang niaga) disediakan bagi pelaksanaan program ini, bagaimanapun jumlah itu adalah jumlah kecil berbanding Sarawak yang besar, justeru kita berharap agar MARA pusat dapat membantu menambah premis ruang niaga di Sarawak untuk usahawan Bumiputera di sini,” jelasnya.

Program Master Tenant Bazar MARA mula dilaksanakan pada 2009 dan Master Tenant Bazar MARA Satok merupakan program keenam di seluruh Malaysia dan pertama di Sarawak dan ia adalah bertujuan meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera serta melonjakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor keusahawanan.

Dalam majlis itu juga, seramai 14 usahawan kecil menerima cek pembiayaan Program Usahawan Lepasan Institusi Pendidikan MARA dan Usahawan Belia (PUTRA) sebanyak RM10,000 setiap seorang sebagai peruntukan awal perniagaan.

Hadir sama memeriahkan majlis perasmian itu ialah Pengarah Urusan Coffee-O Corner Sdn Bhd Datuk Mohamad Kepli Ahmad.