Wang mesin bayar parkir kereta di UTC dicuri

0

KUCHING: Pihak pengurusan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sarawak membuat laporan polis selepas mendapati wang sekitar RM1,000 hilang dari mesin bayar tempat letak kereta automatik Khamis lepas.

Insiden tersebut hanya disedari pihak pengurusan ketika hendak mengumpul wang dari mesin berkenaan dan mendapati terdapat kesan umpil pada kotak penyimpanan wang mesin tersebut.

Menurut sumber, kotak tersebut mulanya sukar dikeluarkan dari mesin berkenaan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan untuk mengeluarkannya.

“Sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, didapati terdapat kesan umpil pada kotak berkenaan dan hanya terdapat wang tunai sekitar RM100 di dalamnya sedangkan resit menunjukkan pembayaran melebihi RM1,300,” kata sumber.

Pihak pengurusan yang risau perkara tersebut akan berulang kemudian tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.