Wawasan Ketua Menteri Sarawak

0

AKRAB RAKYAT: Kepentingan rakyat merupakan agenda utama Adenan dalam merangka rancangan pembangunan. Di bawah pemerintahannya, beliau beriltizam membawa pembangunan lebih rancak di luar bandar.

SAMBIL menggambarkan pemerintahan beliau selama setahun sebagai ‘penuh peristiwa’, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah berikrar untuk melakukan lebih banyak lagi bagi Sarawak pada tahun-tahun mendatang di bawah ‘Wawasan Besar’ (Grand Vision) beliau.

Apabila ditanya tentang visi atau wawasan beliau untuk Sarawak, beliau berkata: “Kita mesti ada visi yang hebat bagi Sarawak tetapi pada waktu yang sama, ia juga mestilah praktikal mengenai apa yang boleh dicapai dan apa yang tidak.”

Bagi mencapai wawasannya, Adenan berkata ujian terbesar yang segera adalah untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang penggal ini berakhir pada Jun 2016.

“Salah satu cabaran paling hebat yang bakal dihadapi adalah PRN akan datang.

“Tiada yang 100 peratus bersedia kerana keadaan mungkin berubah tetapi jika pilihan raya diumumkan pada hari ini, saya rasa kami boleh mengatakan kami bersedia. Sudah tentulah, masanya akan ditentukan oleh kami dan bukan pembangkang. Ada banyak perkara lain yang saya rancang untuk Sarawak,” kata Adenan sempena ulang tahun pertama beliau selaku Ketua Menteri pada hari ini.

Beliau menambah, dengan penambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kerusi DUN sekarang, ia akan membolehkannya memberi tempat kepada calon-calon yang memiliki peluang yang tinggi untuk menang bagi Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang.

“Saya akan memberi simbol BN kepada calon-calon boleh menang termasuk calon dari Tanjung Datu,” kata Adenan.

Apabila ditanya sama ada ini bermakna memberi tiket BN kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), beliau berkata: “Semua kemungkinan ada ekoran pembentukan 11 kerusi baharu.”

Buat masa sekarang, empat parti komponen BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) keberatan untuk membincangkan isu sensitif berhubung tuntutan yang dibuat oleh UPP dan TERAS dalam pengagihan kerusi.

Dalam PRN terakhir yang diadakan pada 2011, PBB diagihkan 35 kerusi, SUPP (19 kerusi), PRS (sembilan) dan SPDP (lapan).

Bagaimanapun, kesudahannya tidak memihak kepada SUPP apabila ia kehilangan 13 kerusi, SPDP juga tidak terkecuali apabila ia hilang dua kerusi manakala PRS hilang satu. Sebaliknya PBB, tulang belakang BN Negeri, memenangi kesemua kerusinya.

Mengenai satu isu berkaitan, Adenan yang juga Pengerusi BN Negeri berkata Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak mungkin akan menyertai BN Negeri.

“Saya juga tidak ada kuasa untuk melantik orang dari luar BN menjadi ahli Kabinet Negeri. Pada peringkat persekutuan, mereka dapat berbuat demikian kerana mereka dapat melantik orang untuk menjadi senator terlebih dahulu. Di Sarawak, undang-undang sedemikian tidak ada,” tegas beliau.

Mengenai prestasi kabinet beliau, Adenan menegaskan bahawa beliau gembira dengan mereka.

“Mereka telah menjalankan tugas dengan baik, saya sudah menjawab soalan itu dalam Dewan,” tegasnya.

Sejak setahun lalu, Adenan telah lulus ujian sebagai ketua eksekutif negeri ini dengan cemerlang apabila beliau menunjukkan kewibawaan dalam menangani isu-isu rumit terutama pembalakan haram.

“Saya tidak peduli sama ada saya menerima pujian atau tidak, apa yang saya pedulikan adalah hasilnya. Jika mereka memilih untuk memuji saya, itu adalah urusan mereka tetapi jika tidak, tidak apa,” ujar beliau.

Adenan, yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, memberitahu bahawa beliau akan mewartakan lebih banyak taman negara dan pada waktu yang sama akan terus mengurangkan jumlah lesen pembalakan.

“Lesen pembalakan tanpa diperbaharui akan dikurangkan lagi. Sebabnya adalah untuk mengurangkan penyeludupan dan melindungi hutan kita dan menambah jumlah taman negara. Saya rasa semasa pemerintahan saya, kami sudah menambah sekurang-kurangnya sebanyak 20. Sekarang lebih banyak lagi dijangkakan kerana proses sedang dijalankan untuk menukar beberapa kawasan hutan kepada taman negara,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyokong usaha untuk menubuhkan zoo tetapi lebih suka mewujudkan lebih banyak rizab alam sekitar.

“Tiada hasrat untuk menubuhkan zoo di Sarawak tetapi fokus kita adalah untuk mewujudkan lebih banyak rizab alam sekitar. Orang mungkin lupa bahawa saya adalah ahli DUN pertama yang bercakap mengenai alam sekitar pada 1979. Ia adalah hampir 40 tahun yang lalu. Memandangkan sekarang saya ada peluang untuk melindungi alam sekitar, saya akan berbuat demikian,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Adenan berkata beliau akan terus memberi tumpuan kepada cara untuk menyelesaikan masalah berkaitan tanah pada masa terdekat.

Untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang lebih adil bagi pelaburan, Ketua Menteri turut merancang untuk mengurangkan lagi tarif elektrik komersial bagi syarikat tempatan selepas mengurangkan tarif elektrik pada keseluruhannya bagi semua pengguna di negeri ini pada awal 2015.

“Mengenai kadar elektrik ini, jika kita memberi kadar istimewa kepada syarikat asing, kenapakah tidak kepada rakyat tempatan, betul tak?” kata beliau.

Selepas setahun beliau juga gembira kerana keluarga beliau, terutama isteri beliau Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu telah memberi sokongan yang padu kepada beliau dalam usaha beliau untuk membawa negeri ini ke mercu yang lebih tinggi.

“Saya rasa keluarga saya menangani keadaan dengan agak baik walaupun jadual saya sibuk,” tambah beliau.