48 pasukan sertai terbuka Futsal RTM

0

KUCHING: Tidak hanya berperanan menyiarkan berita semasa, rancangan informatif dan pelbagai terbitan program ke udara buat pendengar dan penonton, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil menganjurkan Kejohanan Terbuka Futsal RTM, semalam.

Hadir merasmikan acara pembukaan kejohanan itu di Stadium Futsal Coneli di Matang ialah Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Fazruddin Abdul Rahman.

Fazruddin dalam ucapannya berkata, penganjuran aktiviti seumpama itu yang mengetengahkan penglibatan golongan belia di negeri ini khususnya harus disambut baik oleh setiap individu mahupun agensi.

“Saya ingin mengambil kesempatan memanggil dan mempelawa lebih ramai individu, agensi swasta mahupun kerajaan menganjur lebih banyak program seumpama ini sebagai langkah proaktif menarik ramai penglibatan belia menyertainya.

“Pada masa sama, penganjur juga boleh mengambil peluang mendidik peserta menyertai kejohanan supaya menjadi individu (belia) berdisiplin dan berjaya sekali gus memangkin kejayaan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Rekreasi RTM Ahmad Razally menyifatkan penganjuran julung kali kejohanan futsal itu mampu menggalakkan budaya hidup sihat kalangan masyarakat setempat dan warga RTM.

“Sesungguhnya, kami amat mengalukan penyertaan sesiapa sahaja pada kejohanan sehari ini (semalam) dalam usaha meningkatkan semangat kesukanan dalam budaya sihat,” katanya.

Kejohanan Terbuka Futsal RTM disertai 48 pasukan dan pemenang membawa pulang hadiah lumayan wang tunai berjumlah RM1,500, piala iringan serta sijil, wang tunai RM1,000, piala iringan serta sijil (naib juara) dan wang tunai RM600, piala iringan serta sijil (tempat ketiga).