Adenan: RM4 juta untuk sekolah persendirian Cina di S’wak tahun ini

0

KUCHING: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM4 juta kepada sekolah persendirian Cina di Sarawak pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, jumlah itu ditambah berbanding RM3 juta yang diperuntukkan pada tahun lepas kepada 14 sekolah persendirian Cina di seluruh negeri.

“Kita tahu masyarakat Cina ini amat mementingkan pendidikan, bagaimanapun bagi sekolah persendirian mereka hanya menerima sejumlah kecil daripada kerajaan persekutuan.

“Menyedari perkara ini, kerajaan negeri telah menyumbang RM3 juta kepada sekolah berkenaan dan tahun ini saya menambahkan jumlah terbabit iaitu RM4 juta kepada sekolah persendirian Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datuk Amar Rosmah Mansor di sini, malam kelmarin.

Tambah Adenan, ia bagi memenuhi juga permohonan daripada Pengerusi Lembaga Sekolah-Sekolah Persendirian Cina Sarawak Temenggung Vincent Lau dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Menengah Chung Hua No.1, 3 dan 4 Richard Wee, yang memohon peruntukan tambahan pada tahun ini.

Sementara itu beliau memberitahu, kerajaan negeri kini dalam rundingan bersama syarikat bekalan elektrik untuk menurunkan tarif bagi komersial dan industri.

“Kita sudah melaksanakan penurunan tarif elektrik kepada pengguna domestik dan sekarang kita berunding dengan syarikat berkaitan untuk menurunkan tarif kepada peniaga khasnya industri dan komersial,” tegas beliau.

Adenan menegaskan, beliau juga berharap mendapat kerjasama daripada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti Cina bersamanya memerangi pembalakan haram di negeri ini.

Katanya masyarakat harus memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang kejadian yang mencurigakan dalam aktiviti berkenaan.

“Selagi saya masih di sini saya tidak membiarkan perkara seperti ini berleluasa namun saya memerlukan pertolongan anda semua dengan melaporkan perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Adenan berkata kerajaan negeri pada masa ini dalam rancangan untuk menurunkan kadar pembayaran tol atau terus memansuhkannya.

Namun ia masih di peringkat awal di mana kerajaan masih lagi mengadakan rundingan bersama syarikat konsensi berkaitan.