Cadangan membina gelanggang bola tampar dihantar kepada kementerian

0

MIRI: Cadangan membina gelanggang tertutup bagi sukan bola tampar dihantar kepada Kementerian Pembangunan Sosial sebagai usaha menggalakkan pembangunan dan mempromosikan sukan terbabit kalangan masyarakat.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin memberitahu beliau akan menghantar cadangan itu ke kementeriannya pada masa terdekat memandangkan ia adalah masa sesuai bagi mempromosikan pembangunan sukan bola tampar terutamanya sejajar dengan Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.

“Pasukan bola tampar kita melakukan yang terbaik pada SUKMA lalu namun bola tampar pantai tidak mencapai tahap yang dimahukan.

“Justeru itu, kita masih mengenal pasti kelemahan khususnya dari segi kemudahan sukan berkenaan memandangkan kita mempunyai tempat berlatih dan bertanding adalah terhad,” katanya ditemui pada Kejohanan Bola Tampar Pantai anjuran Persatuan Bola Tampar Miri di Beach Republic Miri semalam.

Menurut Lee, gelanggang bola tampar pantai di sini kebanyakan adalah milik swasta termasuk di Beach Republic Miri dan Hotel Parkcity Everly.

Jelas beliau, sekiranya terdapat lebih gelanggang bola tampar pantai di sini dibina membolehkan lebih banyak pertandingan atau latihan diadakan.

“Miri juga merupakan salah satu lokasi sesuai menganjurkan sama ada kejohanan atau latihan bola tampar pantai bagi para atlet sukan terbabit selain di Kuching,” katanya.

Sebanyak 32 pasukan dari Kuching, Maradong, Sibu, Limbang dan Miri mengambil bahagian pada kejohanan bola tampar pantai itu.

Kejohanan bertujuan memilih pemain-pemain berpotensi mewakili Sarawak pada SUKMA 2016.

Lee turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 untuk Persatuan Bola Tampar Miri.

Hadir sama Pegawai Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Miri, Harifen Mansor dan Pengerusi Persatuan Bola Tampar Miri, Soo Puong Chii.