Kemalangan jalan raya merugikan negara

0

UNTUK KESELAMATAN: Daud menunjukkan topi keledar keselamatan original dan tidak menepati piawaian selepas demonstrasi. Turut kelihatan Davina (kiri) dan Sarkawi (kanan) serta yang lain.

Tanggung kerugian kos tinggi, kehilangan nyawa yang merupakan modal insan: Daud

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Negara bukan sahaja menanggung kerugian kos yang tinggi akibat kemalangan jalan raya tetapi kehilangan nyawa yang juga merupakan modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman berkata, dianggarkan kebanyakan kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa adalah mereka yang berusia bawah 40 tahun.

“Kebanyakan kes kematian membabitkan mereka yang berusia kurang daripada 40 tahun dan ini adalah tenaga yang masih diperlukan negara dan merupakan satu kerugian.

“Misalnya setiap tahun dianggarkan 6,000 kematian di seluruh negara adalah melibatkan golongan ini dan ia satu kerugian besar,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya (KJR) 2015 dan Pelancaran Program Keselamatan, Kebersihan, Keceriaan (3K) SK Matang Jaya di sini, semalam.

Menurut beliau, selain itu dari segi kos pula kerajaan juga dianggarkan perlu menanggung RM1.4 juta bagi setiap kematian akibat kemalangan jalan raya.

Tambahnya kerajaan melalui agensi berkaitan terus berusaha menangani kemalangan jalan raya dengan melakukan pelbagai program terbaik.

Bagaimanapun ia tidak mencukupi kerana kadar kemalangan jalan raya atau kematian juga disumbangkan oleh faktor kecuaian manusia dan ini memerlukan kesedaran yang tinggi untuk dipupuk.

Sehubungan itu kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) itu, pendidikan mengenai keselamatan jalan raya atau kesedaran mengenainya harus dipupuk pada awal usia khasnya kanak-kanak sekolah.

Jelas beliau, agensi berkaitan telah mengadakan inisiatif di peringkat sekolah rendah agar kanak-kanak peka dengan kepentingan menjaga keselamatan jalan raya.

“Kita pada masa yang sama menggalakkan ibu bapa juga bersama-sama menghargai dan peka mengenai perkara sebegini, dengan mematuhi peraturan atau undang-undang jalan raya,” katanya.

Sementara itu program kempen keselamatan jalan raya itu merupakan salah satu aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Matang Jaya dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Taman Matang Jaya.

Objektifnya adalah untuk memberi kesedaran kepada murid, guru dan warga Taman Matang Jaya tentang perlunya menjaga keselamatan semasa berada di jalan raya.

Selain itu memberi penerangan tentang risiko dan bahaya yang ada semasa berjalan kaki, menunggang motosikal mahupun memandu kenderaan.

Majlis turut dihadiri Pengarah JKJR Negeri Davina Agnes Enteli, Guru Besar SK Matang Jaya Sarkawi Annuar dan Yang Dipertua PIBG SK Matang Jaya Zaidel Bujang.