Kerajaan peka, prihatin pendidikan awal kanak-kanak, kata Fatimah

0

DALAT: Proses mengasuh dan mendidik anak-anak adalah penting dalam pembentukan seseorang insan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata kerajaan negeri peka dan prihatin dengan pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya anak-anak peringkat awal pertumbuhannya memerlukan rangsangan berupa bimbingan orang dewasa dan persekitaran untuk melengkapkan dirinya dengan keperibadian Muslim sebenar.

“Pendidikan awal adalah satu persediaan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun sebelum masuk ke tahun satu sekolah formal kerana dapat menggerakkan pemikiran dan meningkatkan kreativiti mereka di samping membina akhlak yang baik,” katanya pada penyampaian sumbangan kerajaan negeri untuk menaik taraf empat Taska Masjid Daerah Dalat di sini semalam.

Sumbangan berjumlah RM150,000 itu adalah untuk Taska Masjid Al-Taqwa di daerah kecil Oya sejumlah RM30,000, Taska Masjid As-Salam Kampung Teh (RM40,000), Taska Masjid Al-Huda Kampung Sungai Kut Tengah (RM40,000) dan Taska Masjid Al-Hidayah Kampung Medong (RM40,000).

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut menyampaikan projek kecil luar bandar (MRP) 2015 sejumlah RM40,000 kepada Tabika KEMAS Kampung Senau untuk menaik taraf tabika itu dan projek menimbus batu serta menyimen tempat letak kereta di tanah lapang kawasan Masjid Al-Muslihin Dalat sejumlah RM40,000.

Beliau turut menyampaikan sumbangan buku untuk lima Taska Masjid Daerah Dalat iaitu Taska Masjid At-Taqwa Oya, Taska Masjid As-Salam Kampung Teh, Taska Masjid Al-Huda, Kampung Sungai Kut Tengah, Taska Masjid Al-Hidayah Kampung Medong dan Tabika KEMAS Kampung Senau Oya.

Mengikut statistik, taska swasta berdaftar dan dalam proses berdaftar mengikut agensi di Sarawak tahun ini terdapat 237 taska dengan 4,277 kanak-kanak dan 885 pengasuh.

Manakala taska swasta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri berdasarkan kategori taska bagi tahun 2014/2015 ialah 139 buah dengan 2,895 kanak-kanak dan 606 pengasuh.

Beliau turut mengumumkan sebuah premis menempatkan Pasar Sabtu Oya (PSO) secara kekal bernilai RM2 juta akan dibina di pekan Oya dan projek tersebut dimulakan selepas selesai perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Turut hadir suami Fatimah Datu Adi Badiozaman Tuah, Temenggung Hendi Suhai, ketua-ketua masyarakat, jabatan dan penduduk.