Pembangunan fasa kedua Medan Niaga Satok mula Mac

0

KUCHING: Pembangunan fasa kedua Medan Niaga Satok melibatkan pelaksanaan tempat niaga berbumbung akan dimulakan Mac ini atau selewat-lewatnya Mei tahun ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan tempat niaga berbumbung ini adalah untuk menempatkan peniaga pasar tani luar yang datang pada hujung minggu.

“Kami telah membentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keperluan tambahan yang diperlukan untuk penambahbaikan di medan niaga ini.

“Malah Perdana Menteri telah melihat sendiri keadaan di medan niaga ini pada ‘walk-about’ tadi dan kami harap keperluan-keperluan tambahan yang diperlukan ini dapat direalisasikan.

“Jika apa yang kami sarankan tadi dapat dilaksanakan maka medan niaga ini akan lebih lengkap dengan tempat letak kereta bertingkat serta tempat niaga berbumbung yang akan memudahkan para peniaga serta pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Medan Niaga Satok semalam selesai program ‘walk-about’ sempena lawatan kerja Perdana Menteri selama tiga hari ke negeri ini.

Mengulas mengenai lawatan Perdana Menteri ke medan niaga itu semalam, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata ia sebahagian daripada program yang diatur untuk Perdana Menteri meninjau sendiri perkembangan di sini.

Ini kerana menurut Fadillah, projek Medan Niaga Satok ini merupakan jalinan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.

Sebahagian besar peruntukan bagi membangunkan medan niaga ini disediakan oleh kerajaan persekutuan dengan dibantu oleh kerajaan negeri melalui Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, sedikit makluman mengenai medan niaga ini ia mula beroperasi pada 1 Januari 2013 dan dirasmikan pada 27 Januari 2014.

Sejak dibuka, medan niaga yang merupakan hasil ilham Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ini mempunyai 1,400 lot niaga dengan peniaga seramai 1,250 orang.

Dibahagi kepada Pasar Tamu Tetap, Pasar Borong, Pasar Minggu dan Benteng, medan niaga ini bertujuan menyediakan prasarana yang lebih tersusun kepada para peniaga dan pengunjung di samping sebagai tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.