Pendekatan, hala tuju baharu diguna pakai Adenan lakar sejarah baharu

0

LUNDU: Pendekatan dan hala tuju baharu yang diguna pakai Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem melakar sejarah baharu bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelantangan dan keberanian Ketua Menteri untuk melakukan perkara yang betul demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum menjadikannya sebagai pemimpin disukai.

“Beliau mempunyai dasar-dasar baharu yang tidak pernah difikirkan. Selain daripada hala tuju dan pendekatan baharu, beliau turut mempunyai cara baharu untuk mengatakan dan melakukan sesuatu.

“Hala tuju dan pendekatan baharu beliau melakar sejarah bukan sahaja di Sarawak malah di Malaysia… saya tidak pernah mendengar sesiapa mengkritik apa yang beliau laksanakan, baik di negeri ini mahu pun di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bersama Pemimpin sempena Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Lundu di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis, Adenan serta isteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong turut melahirkan harapan agar Adenan terus menjadi Ketua Menteri bagi negeri ini agar dapat meneruskan agenda-agenda pembangunan bukan sahaja untuk negeri malah rakyat.

“Hari ini, 28 Februari adalah begitu signifikan kerana pada tarikh inilah ADUN Tanjung Datu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak dan hari ini beliau datang meraikan ulang tahun pertama bersama anda semua,” katanya.

Terdahulu, pengerusi penganjur Chen Chung Yee berkata, SJK Chung Hua Lundu akan mempunyai bangunan baharu sebelum sekolah dibuka tahun depan.

Beliau turut melahirkan harapan agar kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan ke atas projek yang bernilai RM1 juta itu.

“Kita berharap blok baharu yang merangkumi lapan kelas akan siap menjelang hujung tahun ini dan bersedia untuk digunakan pada 2016,” katanya.