Rumah teres dua tingkat terbakar selepas disyaki dipecah masuk

0

KUCHING: Sebuah rumah teres dua tingkat di Top Green Pinerin Villa, Stutong Baru, di sini mengalami kerosakan sekitar 20 peratus struktur bangunannya akibat terbakar selepas disyaki dipecah masuk malam kelmarin.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuching Tiong Ling Hii berkata kebakaran melibatkan ruang bilik dapur dan ruang tingkat atas bahagian bumbung.

Menurutnya keadaan berjaya dikawal dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya beberapa minit selepas pihaknya tiba di lokasi kejadian iaitu sekitar jam 10.30 malam.

“Bagaimanapun, siasatan awal mengesyaki rumah telah dipecah masuk dan segaja dibakar berdasarkan corak api yang menunjukkan dua tompokan api berlainan lokasi iaitu di kawasan dapur dan tingkat atas.

“Keadaan di dalam rumah juga berselerak dan komander operasi Christus Buson telah serahkan kes kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” kata Tiong.

Tambahnya lagi, rumah berkenaan tidak berpenghuni semasa kebakaran tersebut berlaku.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, sebuah gudang penyimpanan barang elektrik di Jalan Semaba, di sini terbakar petang semalam dipercayai berpunca daripada kerosakan pada sistem pendawaian elektrik.

Menurut Tiong juga, kebakaran berlaku sekitar jam 2.30 petang dan jentera pertama dari Balai Bomba Batu Lintang tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas itu.

“Kebakaran berlaku di tingkat bawah gudang penyimpanan barangan elektrik dan peratus kebakaran hanya empat peratus sahaja dan hanya melibatkan bahan material elektrik.

“Makluman awal, api disyaki disebabkan sistem pendawaian elektrik.

“Bagaimanapun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” kata Tiong.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.