SUPP pula mahu bertanding di Dudong

0

SUPP letak calon bertanding di DUN Dudong di bawah tiket BN pada PRN akan datang

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Selepas Parti Rakyat Bersatu (UPP) berhasrat meletak calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, kini giliran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut melahirkan hasrat sama.

Menurut kenyataan SUPP Cawangan Dudong, mereka akan meletakkan calon bertanding di DUN Dudong di bawah tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“UPP boleh meletakkan sesiapa sahaja calon di DUN Dudong dengan syarat mereka mesti menggunakan lambang dan tiket sendiri.

“Dalam pada itu, UPP juga boleh meletakkan calon di semua 71 kerusi pada PRN akan datang tetapi mesti di bawah lambang dan tiket sendiri,” kata kenyataan itu.

Mewakili SUPP Cawangan Dudong ketika menyerahkan kenyataan tersebut kepada media di sini petang semalam ialah Pengerusinya Datuk Dr Soon Choon Teck, Timbalannya Datuk Seri Benny Lee, Naib Pengerusi Wong Ching Yong, Setiausaha Kong Sing Ping dan Setiausaha Organisasinya Huong How Ching.

Sementara itu, ditanya sama ada SUPP Cawangan Dudong sudah mempunyai calon pada PRN akan datang, jurucakapnya menjawab bahawa mereka mempunyai banyak calon berpotensi.

“Bagaimanapun kami hanya akan mendedahkan nama calon pada masa yang sesuai setelah mendapat persetujuan daripada pusat parti,” kata jurucakap itu yang enggan dikenali serta turut hadir pada perjumpaan dengan media.

Jurucakap itu turut membalas kenyataan terhadap pengumuman Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh pada malam Khamis lalu yang mendedahkan bahawa Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King akan menjadi calon UPP di kerusi DUN Dudong pada PRN akan datang.

Wong dipetik berkata, Tiong sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman diyakini mampu merampas DUN Dudong daripada pembangkang.

Jurucakap itu mengulangi bahawa UPP adalah pihak bebas dan tidak pernah menjadi ahli BN.

“Perlembagaan BN menetapkan setiap permohonan sebuah parti baharu menyertai BN mesti mendapat persetujuan sebulat suara daripada rakan komponen parti lain. Ini jelas menunjukkan syaratnya,” tegas beliau.

Jurucakap itu berkata, pemimpin UPP kebanyakannya adalah pemimpin SUPP yang dipecat kerana masalah aktiviti mereka terutama membuat rayuan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) agar membatalkan pendaftaran SUPP.

“Walaupun selepas ROS membuat keputusan menerima penjelasan SUPP, pemimpin UPP sekarang masih memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keputusan ROS. Ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Mengenai cadangan UPP meletakkan Tiong sebagai calon bagi kawasan DUN Dudong itu, jurucakap terbabit menggambarkan cadangan itu hanyalah ‘wayang’ sahaja.

“Tiong kini sudah berusia 70 tahun dan pernah kalah dua kali pada pilihan raya. Kami percaya calon sebenar UPP adalah Timbalan Pengerusi MPS Datuk Wong Kee Yew,” katanya.