Tuah tidak berpihak kepada Sarawak

0

Oleh Harry Ilias //

Alberts mempertahan pemain-pemainnya meskipun tersingkir saingan Piala FA 2015

TERBANG: Ryan ‘terbang tinggi’ menanduk bola hantaran silang pada perlawanan pusingan kedua Piala FA 2015 menentang Kelantan di Stadium Negeri Kuching malam kelmarin.

KUCHING: Pengendali Sarawak, Robert Alberts tetap mempertahankan pemain- pemainnya meskipun mereka tersingkir daripada saingan Piala FA 2015 selepas tewas 2-1 di tangan Kelantan pada perlawanan pusingan awal di Stadium Negeri di sini malam kelmarin.

Menurut Alberts, semua pemainnya telah cuba memberikan yang terbaik namun perlawanan itu jelas bukan berpihak kepada Sarawak.

“Saya tiada runggutan mengenai persembahan pemain-pemain. Mereka telah cuba memberikan yang terbaik cuma rezeki tidak berpihak kepada kita.

“Bagaimanapun, saya mengakui masih banyak kelemahan dalam skuad Sarawak yang perlu diperbaiki selepas ini. Kita kehilangan rentak permainan dan sering kehilangan bola.

“Selain itu, pemain-pemain juga berada jauh antara satu sama lain dan ini menyukarkan kita untuk menjana serangan ke kubu lawan,” katanya mengulas perlawanan itu di sini malam kelmarin.

Alberts berkata, semangat semua pemain sedikit menurun selepas kegagalan kapten pasukan, Ryan Griffiths menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78 ketika Sarawak ketinggalan 1-2.

Namun, mereka bangkit semula selepas itu dan sering mengasak kubu Kelantan dari segenap posisi.

Di sebalik rasa kecewa, Alberts tetap memberikan kredit kepada Kelantan yang mempamerkan corak permainan kemas sehingga berjaya mengekang asakan pemain- pemainnya.

Kekalahan itu menjadikan Sarawak skuad pertama dari Liga Super tersingkir saingan Piala FA 2015.

Pelawat mengejutkan Sarawak dengan gol seawal minit pertama menerusi percubaan jarak jauh penyerang import, Erwin Albeiro.

Gol itu menyentap semangat pemain-pemain Sarawak dan mereka mengasak bertali arus ke kubu Kelantan untuk mencari jaringan penyamaan.

Usaha mereka berhasil apabila Ryan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29.

Kekecewaan anak-anak buah George Boateng tidak lama apabila mereka sekali lagi berada di depan hasil jaringan Emmanuel Kenmoge pada minit ke-64.