50,000 hadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SPDP

0

BINTULU: Sekitar 50,000 penduduk bahagian ini menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2015 anjuran Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing yang diadakan di Dewan Suarah Bintulu, semalam.

Kehadiran penduduk pelbagai kaum serta latar belakang dari jam 11.30 pagi hingga 3.30 petang membuktikan masyarakat di bahagian ini sememangnya mempunyai ikatan kukuh serta semangat perpaduan cukup tinggi.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu serta bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri Toh Puan datuk Patinggi Norkiah.

Sejurus tiba di Dewan Suarah Bintulu pada jam 3 petang, Adenan dan isteri dibawa ke ruang legar dewan bagi menjamu selera bersama-sama tetamu kehormat dan orang ramai.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai tarian dan nyanyian kumpulan penyanyi dan penari tempatan sekitar Bintulu yang rata-ratanya mengetengahkan konsep 1Malaysia dalam setiap persembahan.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Ahli Dewan Negara Senator Pau Chiong Ung antara yang hadir.

Majlis berkenaan merupakan antara acara tahunan SPDP bersama masyarakat sekitar sini bagi meraikan sambutan tahun baharu bersama-sama dalam suasana yang meriah dan harmoni.