BN menggunakan resipi ‘politik perkhidmatan’: Dr Rayong

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa menyifatkan Barisan Nasional (BN) menggunakan resipi ‘politik perkhidmatan’ untuk menaik taraf dan membangunkan rakyat negeri ini.

Sebaliknya pembangkang mengamalkan pendekatan politik ‘jangkaan dan menghasut’ untuk meraih sokongan rakyat demi menunaikan tujuan politik mereka.

“Pembangkang menyampaikan sesuatu yang belum pasti dapat ditunaikan kepada rakyat di samping menyebar dakyah negatif mengenai BN demi kepentingan parti mereka,” katanya pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Unchit, Geligau Hulu, Engkilili semalam.

Turut diadakan Taklimat Tentang Memadam Kebakaran dan Cara-Cara Mengguna Alat Pemadam Kebakaran kepada penduduk rumah panjang diketuai Jilin Itar daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman.

Sehubungan itu, pendekatan politik perkhidmatan adalah yang terbaik digunakan bagi memajukan taraf hidup rakyat di negeri ini terutama di DUN Engkilili.

“Saya berharap rakyat tidak mudah terperangkap dengan pendekatan politik yang digunakan pembangkang kerana ia tidak memberi sebarang faedah,” katanya.

Menyentuh mengenai pendidikan, Dr Rayong berharap ibu bapa tidak lepas tangan dalam mendidik anak-anak menjadi insan cemerlang pada masa depan.

Ini kerana anak-anak merupakan pelaburan penting milik kerajaan dalam menjana pembangunan pesat negara menuju negara maju.

“Anak-anak juga dianggap sebagai aset penting bagi menggantikan barisan kepimpinan negara pada masa depan,” katanya.