DAP sokong kerajaan demi kebaikan rakyat

0

Ketepi perbezaan, bekerjasama dalam polisi yang dapat beri manfaat kepada rakyat

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Parti Tindakan Rakyat (DAP) bersedia mengetepi perbezaan politik dan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri terutama dalam polisi yang diyakini dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata mereka bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri diterajui BN jika kerajaan bersetuju menegakkan integriti dan mengamalkan budaya bebas rasuah.

“DAP bersedia memberi kerjasama penuh kepada kerajaan tetapi dengan syarat kedua-dua pihak (DAP dan kerajaan) saling bekerjasama menegakkan integriti dan bebas rasuah.

“Ini kerana apa juga kerja dan tugas yang kita laksanakan adalah untuk kebaikan rakyat Sarawak,” jelas beliau.

Chong berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Tahun Baharu Cina (TBC) dan Pertandingan Nyanyian Kanak-Kanak di Myy Mall di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kesediaan DAP untuk bekerjasama dengan kerajaan adalah demi rakyat semata-mata dan bukan mencerminkan kesediaan DAP menyertai BN.

Katanya DAP akan kekal sebagai parti pembangkang dan memainkan peranannya memerhati serta memberi tekanan kepada pemerintahan kerajaan agar dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat.

“Bekerjasama dengan kerajaan BN bukan bermakna kami menyertai BN. Tidak. Sebaliknya DAP akan kekal sebagai pembangkang dan menjadi ‘pemantau kepada pentadbiran kerajaan jika terdapat kelemahan dan kekurangannya.

“Tetapi jika polisi kerajaan amat baik untuk rakyat dan memberi manfaat kepada setiap lapisan rakyat, maka DAP memberi kerjasama sepenuhnya berdasarkan syarat berkenanan,” katanya.

Terdahulu ADUN Piasau Alan Ling, yang juga setiausaha DAP Negeri dalam ucapannya berkata DAP akan mengintai ketiga-tiga kerusi DUN di bahagian ini iaitu Piasau, Pujut dan Senadin pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya sendiri akan mempertahankan kerusi Piasau dan pada masa yang sama kami akan meletakkan calon berpotensi untuk menang di kerusi Pujut dan Senadin,” katanya.

Mengenai pertandingan nyanyian tersebut, 56 kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan oleh DAP Miri.