‘EZ Complaint’ mudah pengguna buat aduan kepada KPDNKK

0

KUCHING: Pengguna kini lebih mudah dan cepat membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi aplikasi telefon pintar ‘EZ Complaint’.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, aplikasi itu dibangunkan menerusi kerjasama KPDNKK bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di bawah program ‘1Gov App Store’.

“Aplikasi ini akan membolehkan pengguna menyalurkan aduan dalam bentuk bergambar sebagai bukti salah laku peniaga melalui telefon pintar mereka terus ke sistem e-aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga di Pasar Raya Servey EG, King Centre di sini semalam.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber menambah, ‘EZ Complaint’ mempunyai beberapa ciri yang memudahkan pengguna.

“Antaranya ciri ‘geotag’ yang mana pengguna tidak perlu mengisi alamat premis yang diadu dengan hanya mengaktifkan ‘geotag’ alamat disimpan secara automatik.

“Selain itu pengguna juga tidak perlu mengisi nombor aduan untuk penyemakan status kerana ia disimpan dalam aplikasi ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, profil pengguna yang berulang, notifikasi e-mel dan maklumat lain yang berkaitan hanya diperlukan pada kali pertama sahaja semasa memuat turun aplikasi itu.

Pada masa sama Naroden berkata pada 2014, KPDNKK telah menerima 14,089 aduan dengan purata 1,174 aduan sebulan.

“Kadar penyelesaian aduan pada 2014 menunjukkan 13,507 (95.87 peratus) daripada 14,089 aduan berjaya diselesaikan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah KPDNKK Sarawak Stanley Tan berkata sempena skim kawalan harga Tahun Baharu Cina yang tamat pada 25 Februari lalu, sebanyak 10,587 premis diperiksa dengan 13 kes dicatatkan melibatkan nilai rampasan RM1,945.85.

“Selain itu, pada tahun ini setakat 27 Februari lalu, sebanyak 188 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM279,923.07 bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Prihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

Pada masa sama beliau mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan berikutan kenaikan harga minyak yang bermula semalam.

“Kami akan memantau harga barangan terutama barangan kawalan,” ujarnya.