Hoki dapat pengiktirafan

0

KLINIK HOKI: Azmi(empat kanan) dan Fairul (tiga kiri) bersama peserta Klinik Hoki di Mini Stadium Betong, semalam.

Sukan itu perlu diketengahkan dan bimbingan peringkat sekolah

BETONG: Kejayaan menganjurkan Klinik Hoki sebagai bukti pembangunan sukan hoki mendapat pengiktirafan dan wajar diteruskan.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Hoki Betong, Azmi Abdullah berkata sukan hoki merupakan satu sukan perlu diketengahkan dan bimbingan serta kerjasama daripada guru-guru sukan di sekolah amat perlu untuk menjadikan sukan hoki berjaya dibangunkan seawal peringkat sekolah rendah.

“Pengenalan kepada sukan hoki merupakan salah satu pendekatan untuk murid-murid minat dalam sukan tersebut.

“Penganjuran Klinik Hoki Peringkat Zon Betong dan Spaoh Tahun 2015 yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Sukan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong dilihat sebagai permulaan menarik untuk murid-murid di peringkat sekolah rendah berkecimpung dengan sukan yang semakin mendapat tempat,” katanya mengulas Klinik Hoki Peringkat Zon Betong dan Spaoh Tahun 2015 di Mini Stadium Betong, di sini kelmarin.

Tambahnya, apa yang dapat diperhatikan kebanyakan murid belum mengenali asas-asas tentang pengendalian sukan hoki malah ada yang hanya kenal kayu hoki.

“Ini amat menyedihkan kerana kurangnya pendedahan kepada sukan berkenaan boleh merencatkan pembangunan sukan tersebut,” katanya.

Keperluan guru-guru sukan di sekolah juga perlu dilihat sebagai pemangkin pembangunan sukan yang boleh diketengahkan kepada setiap murid selain sukan-sukan sedia ada di sekolah.

Kebanyakan sekolah memiliki peralatan permainan hoki seperti kayu hoki dan ini sebagai salah satu permulaan baik untuk memperkembang bakat murid-murid dalam sukan berkenaan.

“Kemahiran murid-murid dalam klinik itu begitu praktikal kerana masing-masing menaruh minat bergiat dalam sukan berkenaan.

“Asas-asas yang ada harus ditingkatkan dengan kemahiran masing-masing bagi membentuk kemahiran individu jika diteruskan dapat berkembang dan boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi yang mengikuti klinik ini diharap jangan matikan kemahiran yang ada teruskan berlatih mengembangkan bakat masing-masing dengan berpandukan ilmu diperolehi selain bimbingan guru-guru sukan di sekolah,” ujarnya.

Kita melihat perbezaan ketara permainan hoki yang kita dedahkan di sini iaitu hoki dalam dewan yang berlainan dengan hoki padang.

“Apa yang dipelajari ialah asas-asas hoki dalam dewan sebagai persediaan mencari bakat-bakat di sekolah rendah untuk menyertai kejohanan Majlis Sukan-Sukan Sekolah (MSS).

Azmi turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar dapat menguruskan dan menyediakan fasiliti sukan hoki dalam dewan bagi memberi peluang sukan ini terus dikembangkan.

“Kita berasa ada keperluan untuk kerajaan melalui PBT yang menguruskan dan menyelenggarakan dewan sukan dan tempat-tempat pembangunan sukan bagi menyediakan kemudahan yang sesuai untuk sukan seperti ini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan menganjurkan satu lagi Klinik Hoki selepas ini dan akan diteruskan dan diperluaskan ke Zon Saratok dan Kabong.

Sementara itu, bagi Pengerusi Teknik Hoki, Majlis Sukan-Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Fairul Nizam Gani berkata pengenalan asas-asas hoki peringkat awal memberi peluang melahirkan pemain-pemain bakal mengharumkan nama Betong ke peringkat lebih tinggi.