Rakyat digesa bersatu, berdiri teguh di belakang kerajaan BN

0

SIBU: Rakyat digesa kekal bersatu dan berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pembangunan berterusan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata ini penting bagi memudahkan kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan di sesebuah kawasan.

Jelasnya, kerajaan BN sentiasa berpegang teguh kepada janji-janji mereka dan rakyat tidak perlu risau tentang itu.

“Kita mesti berdiri teguh di belakang kerajaan BN untuk memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan menjamin rakyat menerima pembangunan berterusan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Penghulu Philip Kayak di Durin malam kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Benny Lee, Temenggung Stanley Gramong, Pemangku Residen Bahagian Sibu Sapiah Daud, Setiausaha Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Justani Joni, Tuai Rumah Penghulu Philip Kayak dan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Durin Philip Kadom.

Asfia berkata, pemimpin-pemimpin negara dan seluruh jentera kerajaan berusaha keras memastikan rakyat terus menikmati kehidupan lebih baik.

Bagaimanapun, matlamat itu dapat dicapai sekiranya sokongan dan kerjasama padu rakyat kepada BN.

“Apabila rakyat bekerjasama dengan pembangkang menentang kerajaan, ia akan menghalang projek-projek pembangunan yang dirancang.

“Oleh itu, terus sokong BN dan bijak memilih calon-calon boleh menang pada PRN akan datang bagi memastikan BN terus mentadbir negeri ini,” katanya sambil berharap rakyat terus yakin terhadap pentadbiran BN.