Adenan buat pengumuman isu tol Jambatan Lanang sebelum Jun 2015

0

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan membuat pengumuman rasmi mengenai tol Jambatan Lanang sebelum pertengahan tahun ini.

Katanya, beliau kini sedang berbincang dengan syarikat pemilik jambatan tersebut untuk menurunkan harga tol atau memansuhkannya.

“Sama ada menurunkan atau memansuhkannya, tunggu saya buat pengumuman rasmi sebelum pertengahan tahun ini.

“Tetapi ini adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Jangan bagi kredit kepada DAP untuk usaha ini kerana saya dan BN berusaha menyelesaikan isu tersebut,” katanya ketika menghadiri Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini petang semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu serta isteri Dato Sri Empiang Jabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Ketua BN Kawasan Lanang merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Chieng Buong Toon, Ketua BN Kawasan Sibu Robert Lau Hui Yew merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola dan tetamu jemputan lain.

Kira-kira 2,000 ahli SUPP di sini menghadiri majlis dianjurkan lima cawangan SUPP terdiri daripada Bawang Assan, Bukit Assek, Dudong, Pelawan dan Nangka.

Menurut Adenan, hasil pembincangan awal beliau memberi jaminan syarikat berkenaan sudah bersedia sama ada menurunkan atau memansuhkan tol tersebut.

“Segalanya akan terjawab pada pertengahan tahun ini. Kita berusaha membantu rakyat yang dibebani tol selama ini,” ujarnya.

Sementara itu, Adenan memberitahu pada April ini kerajaan menurunkan tarif elektrik pengguna industri dan komersil.

“Ini kerana, negeri ini mempunyai empangan dan adil bagi kita menikmati harga yang rendah.

“Kenapa tidak boleh memberi harga murah kepada rakyat di negeri ini. Tunggu pengumumannya pada April nanti,” katanya sambil menambah tarif elektrik bagi penggunaan domestik sudah diturunkan.

Mengenai isu lain, Adenan berkata masyarakat Cina di negara ini khususnya di Sarawak bukan pendatang.

“Ini adalah negeri anda, rumah anda. Anda bukan pendatang. Orang ayng beranggapan kaum Cina pendatang adalah orang cetek fikiran,” jelasnya.

Justeru, kerajaan faham isu tersebut dan memberi peruntukan RM4 juta untuk sekolah-sekolah Cina negeri ini.

“Kerajaan BN adalah kerajaan semua kaum. Kami membela semua rakyat di negeri ini. Oleh itu, sokongan anda amat penting kerana saya tidak mampu melakukannya seorang.

“Berilah peluang kepada saya lima tahun lagi melaksanakan apa yang saya cakap. Marilah kita bekerjasama dan menyokong satu sama lain agar apa yang saya cakap dapat direalisasikan,” katanya.