Bengkel SDSI platform selesai masalah hasil, promosi produk

0

SANTUBONG: Bengkel Satu Daerah Satu Industri (SDSI) mampu menjadi platform untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi usahawan Bumiputera di negeri ini dalam menghasilkan dan mempromosikan produk mereka.

Pengarah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Samat Junai berkata, bengkel itu bukan sahaja membincangkan isu yang dihadapi usahawan tempatan dalam mempromosikan produk mereka di peringkat negeri tetapi juga di luar negara.

“Kita mahu mencari satu penyelesaian menerusi isu-isu penting yang dibangkitkan dalam bengkel yang dianjurkan ini untuk kita mengatasi setiap masalah dalam menghasilkan produk dan mempromosikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel SDSI yang disempurnakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais di Damai Beach Resort, di sini semalam.

“Saya amat menghargai kerjasama serta komitmen semua peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, persatuan dan usahawan tempatan dalam bersama-sama merancakkan pembangunan keusahawan di negeri ini,” tambah Samat.

Pada masa sama, beliau berkata seperti produk belacan Bintulu kini kian popular selain produk kraf tangan dan umai dari Mukah dan Baram yang berpotensi untuk dimajukan.

Tegasnya, kesemua produk tempatan itu mampu diperluaskan pasarannya sekiranya ada peluang dalam penghasilannya dan promosi.