Ops GST jejaki pihak gagal berdaftar dengan GST

0

DILANCAR: Ahmad Jii (dari kanan, barisan hadapan) bersama Othman dan Yunus melakukan gimik pelancaran Ops GST di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak di Petra Jaya, Kuching, semalam.

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak semalam melancarkan Ops GST yang berlangsung secara serentak di seluruh negara bagi menjejaki pihak yang masih gagal berdaftar dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di negeri ini.

Majlis pelepasan yang berlangsung di ibu pejabatnya di Petra Jaya itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Perkastaman) Ahmad Jii bersama Timbalan Pengarah (Bahagian GST) Othman Yusof dan Ketua Ops GST Negeri Yunus Hannuar.

Operasi sehingga 15 Mac itu melibatkan lebih 20 pegawai dan anggota yang akan beroperasi selama 24 jam sehari.

Mengenai operasi itu, mana-mana pihak yang di-dapati gagal berdaftar di bawah Akta GST 2014 akan didaftarkan secara paksaan dan tindakan kompaun sebanyak RM15,000 akan dikenakan.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad menerusi Bernama bertarikh 17 Februari 2015 dipetik berkata: “Hasil semakan antara agensi pihaknya mendapati masih terdapat 62,709 perniagaan yang dikenal pasti belum mendaftar walaupun melebihi nilai perbekalan bercukai sebanyak RM500,000.”

“Sebelum GST dilaksanakan pada 1 April depan, sebanyak 316,001 perniagaan yang layak telah mendaftar di bawah Akta GST 2014 sehingga 16 Februari lalu,” katanya.