Penemuan tulang rangka manusia rungkai misteri kehilangan Sariba

0

BAHAN BUKTI: Seorang anggota polis mengumpul tulang-tulang di lokasi penemuan semalam.

SIBU: Penemuan tulang rangka manusia yang lengkap di sebuah kawasan semak di Batu 11, Pasai Bon Jalan Oya di sini pagi semalam merungkai misteri kehilangan seorang lelaki dikenali Sariba Ringkai, 61, yang dilaporkan hilang pada 10 Januari lalu.

Isteri mangsa, Ani Juhed dipanggil untuk mengecam barang milik mangsa seperti telefon bimbit, topi, bantal, baju, sepasang selipar selain seketul batu bata yang dibawa ke balai petang semalam.

Sekitar jam 8.30 pagi semalam, sebuah motosikal dinaiki dua beradik lelaki dikatakan berhenti membuang air kecil di situ.

Bau busuk di persekitaran membawa penemuan rangka manusia, kemudiannya mereka menghubungi polis ke lokasi tersebut.

Bertindak daripada maklumat itu, polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan dan penemuan sebuah telefon bimbit dalam poket mangsa yang kemudian disahkan oleh isteri Sariba sebagai milik suaminya.

Polis kini masih menjalankan siasatan mengenai kes berkenaan dan masih terlalu awal mengaitkannya sebagai kes bunuh.

Tulang-tulang yang dikumpul di lokasi penemuan dibawa balik untuk siasatan lanjut.

Sariba berasal dari Pasir Emas dilaporkan hilang pada 10 Januari lalu dan polis menjumpai kereta Wira miliknya di Jakar, Sarikei sehari selepas kehilangannya.

Terdahulu, Sariba dikatakan menghantar cucu perempuannya berumur enam tahun ke sekolah sebelum pergi berjoging di Bukit Aup di sini.

Dia dikatakan memberitahu seorang pekerja di situ bahawa dia akan menjemput seorang lelaki warga Indonesia.

Dia juga memberitahu isterinya melalui telefon bimbit menyatakan perkara yang sama. Sejak itu, Sariba tidak kelihatan.