Penjual sate, rakan cedera dibelasah sekumpulan lelaki

0

KUCHING: Seorang penjual sate berhampiran bangunan Baitul Makmur (Masja) di Petra Jaya mengalami kecederaan di kepala manakala rakannya cedera ringan setelah didatangi sekumpulan lelaki yang bertindak agresif, petang semalam.

Dalam insiden sekitar jam 7 malam itu, mangsa dan rakan-rakannya berada di gerai jualan apabila dikatakan dihampiri lebih kurang 20 lelaki yang membawa pelbagai senjata, dipercayai parang, kerambit, samurai, besi dan kayu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Fauzilan Abd Aziz yang mengesahkan insiden itu berkata, mangsa yang telah tampil membuat laporan polis, mendakwa diri mengenali salah seorang lelaki daripada kumpulan tersebut.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kejadian pecah kereta yang berlaku dua minggu lepas di mana suspek mendakwa pengadu yang melakukannya,” katanya.

Mangsa serta rakan-rakannya bagaimanapun mendakwa tidak mengenali suspek.

Mangsa yang cedera di kepala, tangan dan badan ditemui dalam keadaan sedar dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek (yang dikenali oleh mangsa),” katanya.