Polis cekup lelaki tunggang motosikal curi

0

TUMPAS: Motosikal curi yang dirampas polis di Pasar Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN: Polis bertindak menahan lelaki berusia 48 tahun yang didapati cuba menunggang sebuah motosikal curi di Pasar Batu Lintang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad berkata penahanan itu dilakukan pada jam 11 pagi ketika polis melakukan pemantauan kes curi motosikal di kawasan tersebut.

“Ketika pemantauan, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menemui sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dengan nombor pendaftaran 4268.

“Semakan mendapati motosikal terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan motosikal dilaporkan hilang pada 20 Mei tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Hilir, Sri Aman,” katanya.

Ketika pemantauan diteruskan, polis mengesan tindakan suspek terbabit menaiki dan cuba menghidupkan enjin motosikal tersebut sebelum diberkas.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan suspek kini direman bermula 4 hingga 6 Mac ini bagi tujuan siasatan.