Polis Sarawak amat serius menangani cetak rompak

0

Oleh Sandy Mark Luna//

 

BURU LANUN CETAK ROMPAK: Chai (tengah) ditemani Yow (kanan) dan Mustafa bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, semalam.

KUCHING: Sebanyak 4,862 cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak termasuk 106 keping yang lucah dianggarkan bernilai RM34,352 dirampas dalam Operasi Ostrich Khas bagi membanteras kegiatan haram itu di seluruh negeri.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung berkata, operasi selama tiga hari bermula 27 Februari lalu menyaksikan 30 serbuan dilakukan dan 38 individu ditangkap, kebanyakannya dari bandar raya ini.

“Polis Sarawak akan memburu dalang di sebalik sindiket ini apabila fokus sebelum ini yang ditumpukan kepada pekerja tidak membuahkan hasil,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Superintenden Yow Kok Khiang dan Timbalannya DSP Mustafa Kamal.

Chai turut menyifatkan jumlah tangkapan yang ramai dalam operasi itu mencerminkan permintaan tinggi terhadap VCD dan DVD cetak rompak dan lucah.

Beliau menambah, apa yang membimbangkan adalah ramai belia khususnya lepasan sekolah berumur 18 tahun hingga 26 tahun yang menunggu keputusan peperiksaan atau peluang pekerjaan ditangkap dalam operasi berkenaan.

Dalam tempoh 2013 hingga Februari tahun ini katanya, polis Sarawak menangkap 422 orang suspek dalam 407 serbuan yang dijalankan di premis menjual VCD dan DVD.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 48,955 unit VCD/DVD dirampas, merangkumi 44,967 VCD/DVD cetak rompak dan 3,988 VCD/DVD cetak rompak dengan nilai rampasan RM345,649,” katanya.

Setakat Mac tahun lepas katanya, sebanyak 178 kes dituduh di mahkamah manakala selebihnya akan dihadap ke mahkamah selepas laporan pengesahan daripada Lembaga Penapisan Filem Kementerian Dalam Negeri diperolehi manakala bagi daerah kecil atau pedalaman apabila Mahkamah Litar bersidang.

Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Akta Penapisan Filem 2002 dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dalam perkembangan lain, Chai memberitahu bahawa protes yang diadakan di Kuching, Miri, Bau dan Serian bagi membantah pengambilan 12,000 pekerja Bangladesh berjalan dengan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku.

“Kesemua empat protes yang diadakan mempunyai permit daripada ketua polis daerah masing-masing selepas penganjur berjanji untuk mengadakan protes dengan aman dan mereka menunaikan janji,” katanya.