Membanggakan

0

Oleh Jessica Jawing //

Sarawak catat 15 calon cemerlang tertinggi dapat Gred A+ dalam semua mata pelajaran SPM 2014

TERUSKAN USAHA: Fatimah (tengah) bersama Serina (dua kiri) merakamkan kenangan bersama para pelajar cemerlang SPM 2014 di Kuching, semalam.

KUCHING: Sarawak melakar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 membanggakan dengan seramai 15 calon berprestasi cemerlang tertinggi mendapat Gred A+ dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni yang mengumumkan perkara itu berkata, daripada jumlah tersebut dua orang mendapat 11 A+, 10 mendapat (10 A+) dan tiga mendapat 9 A+ dalam semua mata pelajaran.

“Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula 694 orang, manakala pencapaian calon Sarawak pada tahun berkenaan mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) ialah 5.44.

“Sementara dari segi perbandingan pencapaian negeri dan kebangsaan, calon Sarawak mengatasi atau menyamai pencapaian peringkat kebangsaaan dalam 38 mata pelajaran,” ujarnya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2014 Peringkat Negeri yang dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di sini, semalam.

Serina berkata, berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), tujuh sekolah menengah yang mencapai gred teratas di Sarawak ialah SM Sains Kuching dengan nilai GPS 1.53, SM Sains Miri (GPS 1.80), SM Sains Utara Kuching (GPS 1.84), SMP Lodge (GPS 1.97), MRSM Betong (GPS 2.14), Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah Kuching (GPS 2.41) dan SMK St Elizabeth Sibu (GPS 2.83).

Katanya, sebahagian besar sekolah di Sarawak dirumuskan berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan dan hanya sebilangan kecil iaitu tiga sekolah atau 1.68 peratus memperolehi pencapaian Berpotensi.

“Jika dilihat dari perbandingan pencapaian sekolah bandar dan luar bandar, kali ini kita menyaksikan 13 sekolah luar bandar berprestasi baik dari segi GPS mereka.

Jurang masih besar dalam mata pelajaran BI, Sejarah

“Namun, masih ada beberapa mata pelajaran yang jurangnya masih jauh dan besar antara sekolah bandar dan luar bandar, iaitu mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sejarah,” katanya.

Jurang perbezaan antara calon sekolah bandar dan luar bandar dari segi pencapaian minimum Gred E menunjukkan trend negatif iaitu jurang perbezaan semakin besar antara dua mata pelajaran berkenaan, jelasnya.

Bagi Bahasa Inggeris pada tahun 2013 ialah 8.98 peratus dan bertambah besar kepada 12.05 peratus pada tahun 2014, manakala mata pelajaran Sejarah ialah 0.35 peratus (2013) dan bertambah besar kepada 2.03 peratus (2014).

Mengulas mengenai analisis keputusan SPM 2014, Serina berkata sebanyak 64 mata pelajaran telah diambil oleh calon-calon di Sarawak.

“Daripada jumlah itu, 56 mata pelajaran atau 87.50 peratus mencapai peratus kelulusan melebihi 80 peratus iaitu 28 mata pelajaran (50 peratus) mata pelajaran yang mencapai kelulusan 100 peratus.

“Bagi 13 (23.21 peratus) mata pelajaran pula mencapai kelulusan 90 hingga 99.9 peratus, sementara 15 (26.79 peratus) mata pelajaran mencapai kelulusan 80 hingga 89.9 peratus,” katanya.

Secara keseluruhan bagi 2014, seramai 37,488 calon di Sarawak mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM dan daripada jumlah itu, 34,439 (91.87 peratus) adalah calon Sekolah Menengah Kebangsaan.

Manakala, 394 atau 1.05 peratus merupakan calon sekolah di bawah agensi selain Kementerian Pendidikan Malaysia, 815 (2.17 peratus) calon sekolah swasta manakala 1,840 (4.91 peratus) adalah calon persendirian.