Pairin sokong penuh cadangan separa-autonomi untuk Sabah

0

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyokong penuh cadangan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said supaya Sabah diberi status separa-autonomi.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata status seperti itu akan mempercepatkan proses membuat keputusan di peringkat negeri sekali gus meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat.

“Kami melihat komen se-perti ini sebagai komen yang positif. Tidak dapat dinafikan memang ada tempat atau ruang untuk kita melihat bahawa ra-yuan seperti ini ada kebaikannya dan perlu dilihat kesesuaiannya untuk pelaksanaan.

“Contoh paling mudah ialah Pengarah Pendidikan Sabah yang diberi kuasa untuk mengendalikan projek bernilai RM5 juta dan ke bawah. Apabila kita bercakap tentang autonomi atau tambahan kuasa, kita bercakap tentang apa yang baik untuk faedah rakyat Sabah dan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Pairin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana Ketua Menteri dan Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di sini semalam. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan.

Ahad lalu, Salleh yang juga Timbalan Ketua Perhubu-ngan UMNO Sabah dalam blognya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan serius untuk memberi separa-auto-nomi kepada Sabah dan Sarawak sambil menegaskan beliau tidak mencadangkan kemerdekaan untuk kedua-dua negeri itu.

Menurut bekas Ketua Men-teri Sabah itu sistem yang dilaksanakan sekarang tidak berjalan dengan baik sedangkan Barisan Nasional (BN) amat perlu membuktikan kepada peng-undi di Sabah dan Sarawak bahawa kerajaan persekutuan menghormati semangat Perjanjian Malaysia.

Menurut Pairin dengan ada-nya kuasa tambahan kepada Sabah, pelbagai program, projek dan sasaran kerja dapat dikendalikan dengan lebih cekap, lebih fokus serta dijalankan dengan penuh komitmen.

“Permintaan seperti ini perlu diberi perhatian. Ada perkara yang sangat diperlukan untuk faedah rakyat dalam hubungan sistem pe-nyampaian. Oleh itu saya menyokong penuh kenyataan Speaker baru-baru ini.

“Saya fikir banyak ruang untuk kerajaan pusat pertimbangkan. Kita boleh bercakap mengenai pengagihan kuasa. Sekiranya keputusan boleh dibuat segera, terurus pada peringkat negeri dan jabatan di sini (banyak perkara) boleh dicapai dengan cepat dan cekap,” kata beliau. — Bernama