Wanita cedera, diheret ketika cuba halang peragut

0

KUCHING: Seorang wanita cedera akibat diheret beberapa meter ketika cuba menghalang peragut melarikan beg tangannya, kelmarin.

Mangsa 50-an semasa kejadian dikatakan bersama anaknya di Tabuan Jaya Baru apabila didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal sekitar jam 5.45 petang Ahad lepas.

Menurut sumber, seorang daripada lelaki tersebut bertindak meragut beg tangan mangsa menyebabkan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya itu diheret beberapa meter.

“Dia (mangsa) bagaimanapun gagal mempertahankan beg tangannya itu dan turut mengalami kecederaan di kepala serta badannya akibat diheret oleh peragut terbabit.

“Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dari tempat kejadian,” kata sumber.

Ekoran insiden tersebut, mangsa yang mengalami kecederaan dibantu oleh anaknya dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.

Antara yang terkandung di dalam beg tangan mangsa ialah beberapa dokumen peribadi termasuk wang tunai.

Laporan polis juga telah dibuat oleh anak mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang juruukur mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit selepas rumahnya dipecah masuk pencuri awal pagi kelmarin.

Wanita berusia 42 tahun itu hanya menyedari insiden berkenaan selepas dikejutkan oleh orang gajinya memberitahu bahawa rumahnya di Jalan Rock, di sini dipecah masuk sekitar jam 4.20 pagi Selasa lepas.

“Selepas memeriksa rumahnya, dia mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak dan beg tangannya yang mengandungi wang tunai sekitar RM3,000 serta beberapa dokumen peribadi turut hilang,” kata sumber.

Atas nasihat ahli keluarganya, mangsa segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.