Dua maut dalam dua kemalangan tragis

1

Oleh Michael Ubam dan Abang Ismail Abang Su’ud //

Nenek lintas jalan di Sibu dirempuh kereta, pemuda maut nahas dengan lori di Bintulu

TRAGIS: Ahli keluarga meratapi mayat nenek yang dirempuh kereta ketika melintas jalan di Sibu.

SIBU: Seorang nenek dan seorang pemuda maut dalam dua kemalangan berasingan di sini dan Bintulu, semalam.

Dalam kejadian di sini, mangsa yang dikenali sebagai Jelemai Bugie, 60, dari Nanga Licau, Song dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Ubah, pagi semalam.

Insiden tragis sekitar jam 7 pagi itu berlaku ketika Jelemai baharu sahaja menghantar cucu lelakinya yang berusia enam tahun ke sebuah tadika di situ.

“Namun malang tidak berbau apabila sebuah kereta menghala ke arah pusat bandar tiba-tiba merempuh mangsa ketika melintas jalan,” kata saksi.

Impak pelanggaran menyebabkan mangsa terpelanting ke arah cermin hadapan kereta berkenaan.

Menurut beberapa saksi, mangsa yang terjatuh di tepi jalan didapati bergerak seketika, namun kaku selepas itu.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas selepas orang ramai mengerumuni tempat kejadian.

Polis trafik yang dimaklumkan mengenai insiden tersebut tiba di lokasi untuk menjalankan siasatan.

Anak perempuan dan saudara mangsa kelihatan sedih meratapi mayat mangsa di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai berita tersebut.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu di Bintulu, seorang pemuda terbunuh selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 18 Jalan Bintulu-Miri semalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Loo Thean Keat, 27, berasal dari Kangar, Perlis.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu merempuh lori di laluan bertentangan.

Impak pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk.

Anggota polis tiba di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaannya.