KDN berusaha rangkum ketum dalam senarai dadah berbahaya

0

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berusaha ke arah merangkumkan daun ketum ke dalam senarai dadah berbahaya.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya merancang untuk meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 agar polis dan penguat kuasa yang relevan dapat mengambil tindakan terhadap pesalah kerana memiliki daun ketum.

“Buat masa ini daun ketum hanya disenaraikan di bawah Akta Racun 1952. Menanam dan memiliki daun ketum tidak semestinya melanggar undang-undang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malah, kesalahan membabitkan daun ketum di bawah Akta Racum tidak memadai untuk bertindak sebagai pencegahan, katanya.

Cecair yang diekstrak dari daun ketum sekiranya ditelan boleh menjadikan orang khayal dan kesannya adalah berbahaya kepada kesihatan.

Menurut Wan Junaidi, pengambilan berlebihan boleh merosakkan otak.

Ahli Parlimen Santubong tersebut turut mengakui undang-undang baharu yang dicadangkan itu mungkin tidak dapat diterima pemain dalam industri farmaseutikal.

Meskipun tahap kebergunaan ketum masih dikaji dan dibangunkan oleh Universiti Malaya, ia kemungkinan mempunyai sumbangan besar dalam biodiversiti kepada industri farmaseutikal.

“Kita serius dalam menangani masalah. Pengambilan daun ketum adalah berbahaya kepada kesihatan.

“Walaupun KDN cuba mencadang untuk meminda undang-undang namun Kementerian Kesihatan yang memiliki undang-undang (melibatkan daun ketum),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada permintaan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) untuk mengatasi masalah itu sebelum ia menjadi isu keselamatan negara.

Katanya, beliau turut berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membenarkan kementeriannya melihat kemungkinan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, perjalanan untuk mendapatkan undang-undang itu dipinda dan diluluskan di Parlimen masih panjang memandangkan masih ada fakta kelebihan dan kelemahan perlu dipertimbangkan.