Lelaki ditahan selepas disyaki terlibat pecah rumah, curi

0

KUCHING: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah serta mencuri pelbagai barang berharga kelmarin.

Suspek, 22, ditahan selepas pemilik sebuah rumah di Kampung Tabuan Lot yang dipecah masuk berjaya menjejaki suspek dan terus menangkapnya di sebuah rumah di Kampung Tabuan Ulu sekitar jam 6.30 petang.

Menurut sumber, pemilik rumah berkenaan hanya menyedari insiden tersebut sejurus pulang ke rumahnya sekitar jam 2 petang dan mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pelbagai barang berharga telah hilang termasuk barang kemas, jam berjenama dan wang tunai.

“Dia (mangsa) kemudian dimaklumkan oleh jirannya yang suspek ada dilihat berkeliaran di kawasan rumahnya itu menyebabkan dia kemudian bersama rakan-rakannya terus menjejaki suspek,” kata sumber.

Hasil usaha tersebut, mereka berjaya menjejaki suspek dan terus menahannya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.