Satu platun dikerah

8

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

26 askar, enam anggota polis ditempat di Jalan Bakun awasi kawasan palang penghadang

TANGANI BERSAMA: Muhamad Yakup (tengah) bercakap pada sidang media semalam.

BINA LAGI: Palang penghadang di KM1 yang dibina di Jalan Bakun pada 23 Februari 2015 dan siap 2 Mac 2015.

BINTULU: Satu platun membabitkan 26 tentera darat dan enam anggota polis ditempatkan di Jalan Bakun untuk mengawasi laluan di kawasan palang penghadang yang mengalami masalah roboh dua kali sebelum ini.

Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari berkata, pihaknya menerima arahan supaya memberi perhatian serius mengenai masalah itu apatah lagi ia memberi kesan kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Langkah keselamatan di sini wajar diberi perhatian serius kerana harta benda yang rosak ini adalah wang rakyat dan patut dijaga demi kepentingan rakyat itu sendiri,” ujarnya pada sidang media ketika mesyuarat bersama agensi penguat kuasa di pejabatnya di Wisma Residen, semalam.

Muhamad Yakup menjelaskan, pihaknya menerima arahan memasang palang penghadang di Jalan Bakun untuk membendung gejala lori lebih muatan kerana ia membawa kesan langsung kepada kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya.

Jelasnya, jalan sepanjang 120 kilometer, lebar 7.3 meter dengan kos RM23.3 juta itu dibina pada 2001.

“Kerajaan berbelanja untuk kemudahan rakyat bukan untuk kesenangan satu pihak sahaja. Ia rosak kerana terdapat lori membawa muatan lebih. Justeru, kita akan terus bina palang penghadang supaya hanya dilalui oleh kenderaan dengan berat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, antara palang penghadang dibina adalah di KM1, KM44, KM54 dan KM83 dengan palang penghadang di KM54 siap dibina pada 9 Februari 2015, namun malangnya telah dirobohkan sehari kemudian.

“Laporan polis telah dibuat berikutan masalah ini. Susulan itu,  Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah membina tiga penghalang di lokasi yang dikenal pasti di KM1, KM44 dan KM54 pada 2 Mac 2015.

“Sekali lagi salah satu palang penghadang jalan iaitu di KM1 dirobohkan. Siasatan polis sedang dijalankan untuk mengenal pasti (punca) kejadian itu. Kos setiap satu palang penghadang adalah sebanyak RM38,000,” katanya.

Justeru, kata Muhamad Yakup, selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Bintulu beliau telah menerima arahan supaya tiada harta awam dirosak dan memastikan wang rakyat diguna secara munasabah termasuk jalan raya.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak ada masalah dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan, mereka seharusnya mengemukakannya mengikut saluran betul bukan bertindak memusnahkan harta benda awam.

“Oleh itu, sebagai langkah permulaan, satu platun tentera ditempatkan di kawasan itu termasuk enam anggota polis untuk mengawasi dan berkawal di Jalan Bakun yang menempatkan palang penghadang tersebut.

“Saya juga menggesa semua agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat agar memberi perhatian khusus mengenai rasionalnya kita berbuat demikian untuk memastikan harta awam selamat dan perlu dijaga,” katanya.

Ujarnya, kerjasama orang kampung juga amat diperlukan demi kepentingan bersama bagi memastikan kemudahan asas jalan raya ke Bakun selamat digunakan semua pihak.

Beliau berkata, syarikat yang mengangkut kayu balak perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan undang-undang agar jalan raya sentiasa terpelihara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Lim Kwai Seng berkata, pihak polis memerlukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dalam kes terbabit.

Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu boleh dihubungi menerusi talian 086-331122 atau DSP Lim (012-4931343).

SELAMAT: Palang penghadang dibina di KM44 pada 13 Februari 2015 dan siap 2 Mac 2015 di Jalan Bakun.

ROSAK: Kerosakan palang penghadang di KM1 pada 3 Mac.