Benci rasuah harus jadi rutin harian

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Gejala rasuah disifatkan sebagai penyakit berjangkit yang boleh membantut kemajuan dan pembangunan ekonomi negara

IKRAR INTEGRITI: William mengetuai bacaan ikrar integriti antara LSS dan SPRM pada majlis menandatangani CIP yang berlangsung di Pustaka Negeri, Kuching, semalam.

KUCHING: Gejala rasuah disifatkan sebagai penyakit berjangkit yang boleh membantut kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.

Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, penyakit itu, sekiranya tidak dibendung dari awal boleh menjejaskan produktiviti pekerja sekali gus mempengaruhi perkembangan ekonomi negara.

“Malaysia sangat menitikberatkan penularan rasuah dalam kalangan warga kerja tidak kira dalam apa agensi anda berkhidmat kerana sekiranya ia tidak dibendung dari peringkat awal, negara kita tidak akan mencapai kemajuan.

“Justeru, warga kerja yang tidak komited sepenuhnya dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka akan menghasilkan mutu kerja yang sangat rendah yang boleh mengakibatkan kemunduran negara,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika berucap merasmikan Seminar Integriti dan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini semalam.

Jelasnya, budaya benci rasuah harus dijadikan sebagai rutin harian dan budaya hidup masyarakat.

“Selain itu, budaya benci rasuah mungkin tidak akan dapat dicapai dalam satu hari atau satu bulan atau satu tahun malah beribu tahun.

“Namun, sekiranya kita benar- benar berdisiplin mengamalkan budaya antirasuah, ia secara tidak langsung akan menjadi budaya dan panduan kehidupan seharian kita.

“Pada ketika itu, SPRM boleh menutup pejabat mereka kerana kita tidak memerlukan mereka lagi,” katanya dalam nada berseloroh selain memberi contoh negara seperti Sweden, Norway, Finland, Denmark dan New Zealand yang tidak mempunyai agensi pencegahan rasuah seperti SPRM di negara mereka.

Ikrar integriti yang diadakan itu menyaksikan LSS sebagai organisasi pertama di negeri ini pada 2015 tampil menandatanganinya bertujuan sebagai kaedah membendung gejala rasuah dalam sektor korporat.

Dengan menandatangani CIP tersebut, jelas Manyin, warga kerja LSS khususnya harus menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan tugas terutama bagi memberi perkhidmatan bermutu kepada masyarakat.

“Saya pernah menerima SMS, mesej aplikasi Whats- App serta surat layang yang menyatakan LSS tidak menjalankan tugas dengan efektif daripada orang awam sebelum ini… saya tidak mahu mempercayainya.

“Namun, sekiranya dakwaan orang yang mengadu itu adalah benar, ia adalah persepsi mereka dan menunjukkan bahawa mereka tidak mempercayai apa yang dilakukan LSS dan ia harus kita perbetulkan.

“Selepas majlis pada hari ini (semalam), saya berharap setiap warga kerja LSS menjalankan tugas mengikut ikrar yang telah dibuat dan mengembalikan kepercayaan orang awam sekali gus menyangkal khabar angin yang tidak betul itu,” jelasnya.

Tambahnya selain LSS, beliau akan menasihati agensi lain di bawah kementeriannya seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Pelabuhan Kuching, Pelabuhan Rajang, Pelabuhan Tanjung Manis, Pelabuhan Miri dan Brooke Dockyard untuk menandatangani CIP.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi LSS Murni Suhaili, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Safri Zainuddin, Kontroler LSS William Jinep dan Pengarah SPRM Sarawak Badrul Shah Norman.