Buruh maut terjatuh dari tingkat empat

0

Oleh Rosemaria Buma //

Mangsa disah meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Tudan

MAUT: Beberapa kakitangan hospital mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke rumah mayat.

MIRI: Seorang buruh binaan warga asing maut dipercayai terjatuh dari bangunan empat tingkat da-lam satu kejadian di sebuah tapak pembinaan di kawasan Desa Senadin di sini pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Nakip, 36, dan berasal dari Indonesia disah meninggal dunia sekitar jam 11 pagi ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tudan.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat seorang rakan senegara mangsa di Balai Polis Lutong di sini semalam.

Dalam aduannya, Muhammad Syahri, 31, memberitahu sekitar jam 10 pagi, ketika berada di tempat kerja, dia dimaklum seorang rakan sekerja mengenai Nakip yang dijumpai dalam keadaan terbaring dan dipercayai terjatuh semasa sedang bekerja.

Pengadu dan beberapa rakan sekerja kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Tudan un-tuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, doktor mengesahkan mangsa berada dalam keadaan sangat lemah sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi ketika sedang menerima rawatan.

Kematian berpunca daripada pendarahan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Miri untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kes itu.

“Hasil siasatan polis mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah pada badan mangsa dan kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.